AZNIZA menyusun nasi ayam di gerainya di Bazar Ramadan Paroi. FOTO Azrul Edham
AZNIZA menyusun nasi ayam di gerainya di Bazar Ramadan Paroi. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi

Seremban: Rata-rata peniaga makanan bazar Ramadan yang berasaskan ayam kini tersepit selepas harga bahan mentah itu kini tidak menentu malah boleh mencecah RM11 sekilogram (kg).

Luah peniaga, mereka cuba meletakkan harga makanan pada kadar yang berpatutan kerana tidak mahu membebankan pengguna namun pada masa sama terpaksa menanggung kos ayam yang mahal ketika ini.

Peniaga nasi lemak ayam, Azniza Aziz, 31, berkata, dia masih boleh membeli ayam pada harga RM9.20 ke RM9.50 sekilogram di pasar raya namun berbanding di pasar harian harganya yang mencecah sehingga RM11 sekilogram.

"Sebagai peniaga kami tidak mahu meletakkan harga makanan yang dijual tidak masuk akal atau terlalu tinggi kerana akhirnya pelanggan tidak mahu beli.

"Dalam masa sama kami juga mahu menjaga kualiti makanan. Saiz ayam yang dijual juga tidak boleh beza daripada yang dijual sebelum ini, namun kami sendiri tersepit kerana terpaksa tanggung kos ayam yang tidak terkawal sekarang ini," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, peniaga dan pengguna sangat menanti-nantikan jalan penyelesaian daripada pihak kerajaan berhubung harga ayam kerana dilihat tidak berkesudahan.

"Jika mahu dapat harga ayam RM8 sekilogram macam dulu memang mustahil, tetapi setidak-tidaknya turunlah ke paras yang tidak membebankan rakyat," katanya.

Peniaga ayam bakar dan kebab, Zainudin Misran, 46, pula berkata, menjual makanan berasaskan ayam pada Ramadan pada kali ini ibarat memperjudikan nyawanya ke kandang harimau.

"Harga ayam tidak menentu, malah naik tiga kali hanya dalam masa seminggu sahaja dan ia agak sukar bagi peniaga untuk mengira perbelanjaan ayam.

"Walaupun harga ayam di pasaran tidak menentu di pasaran, namun harga nasi ayam dan saiz ayam tetap sama seperti tahun sebelum dan tidak lari jauh daripada peniaga lain.

"Jika dahulu harga ayam hanya RM8 sekilogram, namun sekarang harga paling rendah RM9 dan akan berubah setiap hari. Namun harga makanan yang dijual tetap sama, tidak boleh ubah macam harga ayam.

Peniaga nasi kandar, Syahril Huda Shamsudin, 44, berkata, harga ayam yang ada kalanya mencecah RM11 sangat membebankan terutama bagi peniaga yang menjual makanan berasaskan ayam.

"Risau untuk letak harga makanan kerana bimbang pelanggan akan kata gerai kami jual makanan mahal. Sedangkan kami terpaksa tanggung kos tinggi bahan mentah yang harganya tak menentu di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 1:33 PM