Saiful Anuar membakar ayam untuk dijual pada harga RM8 ketika tinjauan harga makanan di Bazar Ramadan Keramat. FOTO ASYRAF HAMZAH
Saiful Anuar membakar ayam untuk dijual pada harga RM8 ketika tinjauan harga makanan di Bazar Ramadan Keramat. FOTO ASYRAF HAMZAH
Nisaa Iryanie Azhar dan Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Kenaikan harga barang mentah di ibu kota menyebabkan kebanyakan peniaga makanan bazar Ramadan terpaksa menaikkan harga jualan untuk menampung kos.

Peniaga ayam bakar, Saiful Anuar, 36 mengakui walaupun harga menu jualan meningkat, bahan yang digunakan masih mempunyai kualiti sama.

"Sebelum ini harga ayam di pasaran untuk satu kilogram hanya RM6 sehingga RM7 tetapi kini harga ayam melambung sehingga mencecah RM9 untuk sekilogram.

"Ayam bakar yang saya jual sebelum ini RM7, tetapi disebabkan harga ayam naik saya terpaksa naikkan harga ayam bakar saya kepada RM8," katanya kepada Harian Metro

Kata Saiful keputusan untuk menaikkan sebanyak RM1 harga ayam bakar untuk menjaga pembeli setia sedangkan untung peroleh tidak banyak.

Peniaga nasi berlauk, Lenni Sinaga, 43, turut mengambil keputusan menaikkan harga jualannya bagi menampung kos bahan mentah yang naik.

"Cili naik harga, telur pula susah nak dapat. Pendek kata semua harga naik yang murah hanya kangkung," katanya kepada Harian Metro

Tinjauan di bazar Ramadan di Datuk Keramat, mendapati pengunjung bazar memahami faktor peningkatan harga jualan makanan di sekitar Kuala Lumpur.

Pengunjung, Nisa Nabilah Hamid, 25, berkata harga makanan naik tetapi masih dalam lingkungan mampu dibeli.

"Saya beli ayam percik besar RM5, kecil ada yang RM1.50 jadi masih berbaloi. Harga air masih baik kerana harganya yang sama pada tahun lalu sekitar RM5 untuk kuantiti yang banyak.

"Harga makanan bergantung kepada pembeli jika mampu mungkin boleh beli jika tidak pilihlah untuk masak di rumah lebih jimat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 2:57 PM