Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Harga roti telur di negeri ini masih kekal dijual antara RM2 hingga RM2.50 sekeping, meskipun berlaku kenaikan harga bahan mentah, termasuk telur ayam kebelakangan ini.

Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Johor Hussien Ibrahim berkata, seramai 400 peniaga India Muslim di negeri ini mengekalkan harga makanan digemari ramai itu sebagai langkah mengekalkan serta menarik pelanggan mengunjungi restoran mereka.

Katanya, kenaikan harga bahan mentah ketika ini bukan sahaja menjejaskan margin keuntungan majoriti peniaga makanan malah ia menyebabkan pengguna kini semakin kurang berkunjung ke restoran.

"Bagi terus menarik pelanggan terus datang, peniaga makanan India Muslim di negeri ini tidak menaikkan harga makanan kegemaran ramai iaitu roti telur.

"Menu ini terus dijual pada harga antara RM2 hingga RM2.50 sekeping berbanding negeri lain yang sudah menaikkan harga menu itu sejak bulan lalu.

"Bagaimanapun, ada ahli kami yang terpaksa mengehadkan waktu hidangan roti canai atau roti telur pada sebelah pagi dan malam sahaja berbanding sepanjang masa sebelum ini supaya makanan lain termasuk nasi serta lauk pauk terjual. Jika tidak pelanggan yang datang hanya mahu makan roti canai atau roti telur sahaja setiap hari," katanya ketika dihubungi.

Pada 5 Disember lalu, peniaga roti canai di Alor Setar, Kedah, mendakwa terkesan akibat kekurangan bekalan telur sehingga terpaksa menaikkan harga roti telur RM3.20 sekeping, sejak dua minggu lalu.

Peniaga, Mohd Najmudin Md Nor, 32, dilaporkan berkata, kenaikan harga roti telur tidak dapat dielakkan kerana kini terpaksa membeli telur gred B dengan harga RM19 sepapan berbanding RM13.40 sepapan sebelum ini.

Ditanya bagaimana peniaga makanan India Muslim di negeri ini menyerap kenaikan harga bahan mentah yang melonjak naik, Hussein berkata, kebanyakan ahlinya terpaksa mengurangkan menu makanan yang dijual sehingga hampir separuh berbanding kebiasaan.

Katanya, peniaga juga tidak lagi menjual makanan yang harga bahan mentahnya melambung terlalu tinggi sehingga pengguna tidak mampu menikmatinya.

"Jika sebelum ini, peniaga masak sehingga 35 menu atau lauk sehari namun kini hanya antara 15 hingga 20 menu sahaja sehari.

"Menu ayam contohnya dulu sampai lapan menu berbeza sehari namun kini hanya tiga hingga empat sahaja begitu juga sayuran," katanya.

Dalam pada itu, Hussein mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan pusat sehenti jualan bahan mentah di negara ini bagi menangani isu ejen serta orang tengah yang membuatkan harga bahan mentah melambung tinggi.

Katanya, agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) boleh dijadikan sebagai pusat sehenti bagi pengguna dan peniaga mendapatkan bahan mentah.

"Keadaan sekarang ini, pekebun jual cili merah hanya RM2.50 sekilogram namun apabila tiba di pasar borong serta pasar biasa harganya melonjak kepada lebih RM15 hingga RM20 sekilogram.

"Ia berlaku kerana dari kebun sampai ke pasar borong ia melalui sehingga empat ejen atau orang tengah, menjadikan harga bahan mentah melambung tinggi sekali gus membebankan pengguna dan peniaga.

"Kami berharap kerajaan beri perhatian pembabitan orang tengah ini kerana ia adalah punca utama bahan mentah dan makanan kita melonjak naik harganya," katanya.

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 3:23 PM