Proses melabuhkan tukun tiruan yang dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim, di perairan Taman Laut Pulau Kapas sempena Program X-to-Reef. FOTO NAZDY HARUN
Proses melabuhkan tukun tiruan yang dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim, di perairan Taman Laut Pulau Kapas sempena Program X-to-Reef. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Marang: Sebanyak enam daripada 10 unit tukun tiruan hasil kerjasama kepakaran antara Malaysia dan Jepun dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Kapas, di sini, untuk meningkatkan hidupan marin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program X-to-Reef berkenaan adalah salah satu projek berkonsepkan 'circular economy'.

Menurutnya, projek terbabit adalah pengubahsuaian paip besi dasar laut milik Petronas yang akan dilupuskan, tetapi diguna semula untuk dijadikan tukun tiruan yang berperanan sebagai perumah kepada hidupan marin.

"Reka bentuk tukun ini berdasarkan pengalaman Nippon Steel-Kobelco (NSK) (Jepun) yang dilabuhkan di perairan negara berkenaan.

"Penambahbaikan dilakukan oleh penyelidik Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) dari Institut Sumber Marin Asia Tenggara (Ismat) serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan mengikut kesesuaian lokasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program X-to-Reef di Jeti Pelancongan Marang, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, reka bentuk tukun berkenaan berdasarkan piawaian standard pembuatan yang boleh bertahan di dalam air sekurang-kurangnya selama 30 tahun.

Katanya, tukun tiruan ini direka bentuk sebagai habitat spesies spesifik iaitu udang karang, sotong dan rumput laut.

"Faedah dan manfaat projek ini bagi pemuliharaan habitat selain bertujuan sebagai penyelidikan dan mengukuhkan kerjasama antara JPM dan sektor korporat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 1:46 PM