Mohd Rafi Mamat


Rompin: Tiga bot nelayan asing yang dirampas tahun lalu, ditenggelamkan di kawasan dua batu nautika dari perairan Pulau Tioman, di sini, hari ini.

Semua bot dianggarkan bernilai RM4.5 juta termasuk peralatan itu dilupuskan untuk dijadikan tukun tiruan bagi menggalakkan biodiversiti marin.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, tiga bot itu ditangkap ketika menceroboh perairan Pahang tahun lalu.

"Ini kali pertama kami menenggelamkan bot nelayan asing menjadi tukun tiruan di Pulau Tioman dan program kali ini mendapat kerjasama Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dan Jabatan Perikanan Pahang.

"Tukun tiruan itu akan menjadi habitat baharu ekosisten marin dan sebagai peranti pemuliharaan biodiversiti marin, ia juga menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut.

"Kita sentiasa berusaha memastikan perairan negara selamat kepada komuniti maritim dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya, di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 3:53 PM