KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan di di Jalan Ampang berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kosas, Ampang Jaya, semalam.
KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan di di Jalan Ampang berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kosas, Ampang Jaya, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Kecuaian pemandu melanggar lampu isyarat dipercayai menjadi punca kemalangan dua kenderaan di Jalan Ampang berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kosas di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 11.50.

"Ia dipercayai berlaku apabila Proton Waja dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah Lembah Jaya ke Kuala Lumpur melanggar sisi kiri kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang membelok ke kanan untuk masuk ke Bandar Baru Ampang.

"Perlanggaran itu menyebabkan pemandu Perodua Alza berusia 32 tahun tercampak keluar daripada kenderaan berkenaan," katanya pada kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, kedua-dua pemandu terbabit dilaporkan parah dan dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan bahawa pemandu Perodua Alza disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ampang jam 7 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati, insiden itu dipercayai berpunca akibat kecuaian seorang pemandu yang gagal mematuhi lampu isyarat merah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 12:13 PM