Pejalan kaki maut selepas dilanggar kenderan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di persimpangan Jalan Wawasan 2/7 Bandar Baru Ampang, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Pejalan kaki maut selepas dilanggar kenderan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di persimpangan Jalan Wawasan 2/7 Bandar Baru Ampang, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Pejalan kaki maut selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di persimpangan Jalan Wawasan 2/7 Bandar Baru Ampang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Alza yang sedang membuat pusingan U dari Jalan Wawasan 2/4 menuju ke Jalan Wawasan 2/7 terlanggar pejalan kaki yang sedang melintas jalan.

Menurutnya, perlanggaran itu menyebabkan pejalan kaki terbabit terperosok di bawah kereta terbabit dan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca dari kecuaian pemandu kereta yang gagal memastikan lalu lintas adalah selamat sebelum membuat pusingan U.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, saksi bebas yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 5:34 PM