BOMBA membantu mangsa yang terperangkap dalam kejadian ‘kepala air’ di Hutan Lipur Puncak Janing. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu mangsa yang terperangkap dalam kejadian ‘kepala air’ di Hutan Lipur Puncak Janing. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Dua keluarga yang beriadah di Hutan Lipur Puncak Janing di sini, semalam, berdepan detik cemas apabila berlaku kejadian kepala air secara tiba-tiba menyebabkan mereka terperangkap di situ.

Bagaimanapun, mereka berjaya diselamatkan dengan bantuan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang yang tiba tidak lama kemudian.

Ketua BBP Kuala Nerang, Mohd Aminuddin Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.11 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kuala Nerang yang diketuai Mohd Ridzuan Jaafar bersama tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Sebaik tiba di di situ, didapati berlaku kejadian kepala air yang kuat dan pada waktu itu, enam mangsa daripada dua keluarga, terperangkap.

"Anggota operasi menyelamatkan mangsa melalui jalan pintas tebing bukit dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Aminuddin berkata, beliau yang turut hadir di lokasi kejadian turut melakukan pemantauan keselamatan awam di sekitar kawasan berkenaan

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai yang ingin beriadah di kawasan itu supaya berhati-hati terutama ketika perubahan cuaca tidak menentu ini kerana bimbang berlakunya kepala air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 9:24 AM