Kabel fiber optik milik syarikat telekomunikasi yang dicuri oleh suspek di Jalan Panglima Banting, Penampang. FOTO IHSAN PDRM
Kabel fiber optik milik syarikat telekomunikasi yang dicuri oleh suspek di Jalan Panglima Banting, Penampang. FOTO IHSAN PDRM
Juwan Riduan


Penampang: Tiga termasuk dua wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri kabel fiber optik milik syarikat telekomunikasi di Jalan Panglima Banting, di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 45 tahun ditahan sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, pada 2.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pasukan polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada bilik gerakan IPD Penampang mengenai kes curi kabel yang dilaporkan oleh pekerja syarikat telekomunikasi.

"Hasil pemeriksaan awal polis di lokasi kejadian mendapati kabel fiber optik dalam anggaran 90 meter bernilai RM12,000 milik syarikat telekomunikasi dipotong dan diletakkan di tepi jalan.

"Turut ditemui satu pemotong besi yang disimpan di bahagian belakang kenderaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, pasukan polis kemudian bertindak menahan seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan di lokasi kejadian kerana dipercayai terbabit dengan kes curi kabel.

"Ketiga-tiga suspek dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada tiga suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya.

Menurutnya, semua suspek direman untuk disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Sammy berkata, pihaknya memohon masyarakat supaya sentiasa menyalurkan maklumat dan bekerjasama dengan polis dalam membanteras isu jenayah di dalam daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 5:16 PM