Pendaki Malaysia, Hazlami Ahmad Nizam dilaporkan meninggal dunia di Mera Peak,Nepal. FOTO Ihsan Pembaca
Pendaki Malaysia, Hazlami Ahmad Nizam dilaporkan meninggal dunia di Mera Peak,Nepal. FOTO Ihsan Pembaca
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jenazah Hazlami Ahmad Nizam yang meninggal dunia ketika menyertai aktiviti mendaki di Mera Peak, Nepal akan dibawa turun hari ini.

Seorang rakan Hazlami yang kini berada di Kathmandu berkata, proses membawa turun jenazah ke aras 5,500 meter (dari aras laut) sudah dilakukan oleh malim gunung semalam.

Menurutnya, cuaca di kawasan pergunungan baik dan cerah hari ini manakala helikopter berlepas ke kawasan itu pada jam 8 pagi (waktu Nepal) bagi membawa turun jenazah.

Katanya, beliau berharap proses membawa turun jenazah dapat diselesaikan hari ini untuk proses selanjutnya kerana sudah memasuki hari ketiga berada di kawasan pergunungan itu.

Semalam media melaporkan, jenazah Hazlami 33, kakitangan Petronas Chemicals, Gebeng, Kuantan, Pahang tidak dapat dibawa keluar kerana cuaca mendung.

Jenazah akan dibawa turun ke Lukla bagi pemeriksaan dan laporan polis seterusnya diterbangkan ke Teaching Hospital, Kathmandu.

Sementara itu Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) di Nepal ketika dihubungi berkata, Hazlami mungkin mendapat serangan akut gunung dan pengesahan akan dibuat pihak hospital sejurus dibawa turun.

Menurutnya, melalui maklumat, kali terakhir Hazlami menghubungi ahli keluarga pada Isnin lalu ketika berada di Khare dengan ketinggian 5,000 meter (m).

Katanya, pada Selasa arwah bersama malim gunung, Tendy Sherpa dan dua orang porter meneruskan pendakian ke Mera Base Camp 5,300 m.

"Pada Rabu Hazlami dan kumpulan pendaki sampai di High Camp (5,700 m) dan pada pagi Khamis) beliau berasa tidak sihat dan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, "katanya.

Menurutnya ketika kejadian malim gunung dan dua porter berkenaan ada bersama dengan Hazlami.

Menurutnya, waris Allahyarham telah menghubungi Malawakil untuk mendapatkan bantuan bagi membawa pulang jenazah ke tanah air dan pihaknya sudah memberikan nasihat berkenaan pengurusan membawa pulang.

"Malawakil akan mengadakan pertemuan dengan ahli keluarga Hazlami di pejabat kedutaan hari ini bagi membincangkan proses pengurusan jenazah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 12:44 PM