NURUL Anis menunjukkan bayi perempuan berusia tiga bulan yang ditinggalkan. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
NURUL Anis menunjukkan bayi perempuan berusia tiga bulan yang ditinggalkan. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kerian sedang mengesan ibu atau waris kepada kanak-kanak perempuan berusia tiga bulan yang ditinggalkan kepada seorang wanita di Tanjung Piandang, pada 28 Ogos lalu.

Pegawai Pelindung JKM Kerian, Nurul Anis Mohd Amin berkata, pada hari kejadian, seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an datang ke sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tanjung Piandang yang didiami seorang wanita berusia 58 tahun bersama suaminya.

Menurutnya, sewaktu kejadian, wanita itu berada di luar rumah untuk membuka paip air dan datang seorang wanita muda yang memintanya mendukung bayinya.

"Selepas menyerahkan bayi dan beg pakaian, wanita terbabit mengatakan mahu mengambil barangan lain untuk diberikan pada wanita terbabit, namun dia terus menghilangkan diri dengan menaiki sebuah kereta.

"Susulan kejadian itu, bayi berkenaan dijaga wanita itu sebelum diserahkan pada JKM pada 14 September dan satu laporan polis dibuat oleh wanita terbabit.

"Bayi berkenaan yang sempurna sifat kini di bawah jagaan JKM dan pada 27 September lalu, bayi berkenaan ditempatkan sementara di rumah perlindungan kanak-kanak di Kuala Kangsar," katanya ditemui media di pejabat JKM Kerian.

Menurutnya lagi, bayi berkenaan ditinggalkan lengkap berpakaian dan tanpa sebarang dokumentasi.

"Bayi terbabit sihat tanpa sebarang cacat cela dan mempunyai kesan suntikan BCG di lengannya.

"Sehingga kini, tiada waris tampil mengambil bayi berkenaan dan majoriti panggilan telefon diterima JKM (membabitkan individu) mahu mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat.

"Begitu juga dengan pengadu yang mahukan bayi itu terus berada di bawah jagaannya, namun pihak JKM tidak sewenang-wenangnya akan menyerahkan bayi itu dan kita (JKM) ada prosedur operasi standard (SOP) tersendiri," katanya.

Tambahnya lagi, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pihak JKM di talian 05-721 2645.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 9:01 AM