Bayi lelaki yang ditinggalkan di pintu masuk Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Jalan Perak di Georgetown pada 10 April lalu. Foto Ihsan JKM
Bayi lelaki yang ditinggalkan di pintu masuk Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Jalan Perak di Georgetown pada 10 April lalu. Foto Ihsan JKM
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha mengesan ibu kandung atau waris kepada bayi lelaki berusia 30 hari yang ditinggalkan di pintu masuk Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Jalan Perak di sini, 10 April lalu.

Jurucakap JKM berkata, ia bagi membolehkan siasatan lanjut dan tindakan susulan termasuk proses dokumentasi bayi mengikut undang-undang dapat dilakukan.

Menurutnya, bayi berkenaan kini dirujuk oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) kepada Pelindung Kanak-kanak Daerah Timur Laut.

"Bayi terbabit dibalut dengan tuala berwarna hijau dan masih bertali pusat ketika ditemukan di pintu pagar persatuan berkenaan tanpa sebarang dokumen.

"Bayi itu diselamatkan mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

JKM juga sudah menerima kebenaran mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 pada 11 April lalu bagi melakukan siaran media.

Waris, kenalan atau orang awam yang mengenali ibu kandung bayi terbabit boleh menghubungi Pegawai Pelindung Kanak-kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut di talian 04-650 5259.

Terdahulu, bayi malang itu ditemui oleh lelaki berusia 43 tahun ketika melawat rakan lamanya di persatuan berkenaan pada 7.40 malam.

Turut dijumpai pada bayi yang dipercayai baru dilahirkan ketika itu ialah sekeping nota bertulis 'Tolong jaga budak ini'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 5:33 PM