BAYI berkenaan. FOTO Ihsan JKM
BAYI berkenaan. FOTO Ihsan JKM
Mohd Rafi Mamat


Rompin: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang bayi perempuan berusia dua bulan yang menjadi mangsa pengabaian.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Rompin, Mohd Fadzli Ismail berkata, bayi berkenaan ditinggalkan ibunya selepas dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 10 Julai lalu.

Menurutnya, ibu bayi berkenaan yang dikenali sebagai Meri Saskia atau Jariyah Saudi bertindak menghilangkan diri ketika dirawat di hospital dan gagal menuntut bayinya sehingga kini.

"Wanita berkenaan yang juga ibu bayi terbabit adalah warga asing dan tiada butiran lanjut berkaitan termasuk usianya.

"Bayi berkenaan kini dalam keadaan sihat selepas pihak HTAA merujuk kepada JKM pada 13 Ogos lalu," kata di sini, hari ini.

Mohd Fadzli berkata, bayi perempuan berkenaan diselamatkan dan kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Kuantan mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, JKM juga menerima kebenaran mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 oleh Majistret Mahkamah Rompin pada 3 September lalu untuk melakukan siaran media.

"Kami ingin mengesan waris kepada bayi ini bagi tujuan siasatan lanjut serta tindakan seterusnya yang perlu dilakukan mengikut undang-undang.

"Waris atau kenalan serta orang awam yang mengenali ibu kandung bayi terbabit boleh menghubungi Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Rompin di talian 09-4145278," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 8:36 AM