ALLAUDEEN Abdul Majid. FOTO Arkib NSTP.
ALLAUDEEN Abdul Majid. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Jenayah siber terus menjadi satu cabaran sukar untuk dibanteras pihak berkuasa walaupun kadar jenayah indeks mencatatkan penurunan.

Dengan kemudahan capaian internet yang meluas pihak sindiket mampu melakukan jenayah terhadap sesiapa saja tidak kira latar belakang pendidikan atau pekerjaan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, statistik jenayah siber menunjukkan peningkatan membabitkan kerugian lebih RM125 juta.

Nilai itu yang dicatatkan dari Januari hingga Ogos mencatatkan peningkatan berbanding jumlah kerugian bagi tempoh sama pada tahun 2022 iaitu RM93.18 juta.

"Kes penipuan (dalam talian) ini kita perlu tangani, tidak kira apa jenis penipuan pun. Kalau kita lihat kadar jenayah indeks turun 10 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.

"Jika (tahun ini) kita bandingkan dengan tahun 2019, jenayah menurun 59.9 peratus satu penurunan besar tetapi ini untuk jenayah tradisional (curi,rogol,pecah rumah).

"Sebaliknya yang berlaku jenayah siber pula meningkat, jadi cabaran utama kita (polis) adalah jenayah di alam siber ini," katanya kepada Harian Metro dalam sesi temubual eksklusif baru-baru ini.

Beliau berkata penipuan paling banyak dilaporkan sejak Januari hingga Ogos membabitkan phone scam sebanyak 914 kes, tipu tawaran kerja e-dagang (639), tipu pelaburan (340), pinjaman tak wujud (296), pembelian dalam talian (236) dan Love Scam sebanyak 77 kes.

Katanya, kes tipu tawaran pekerjaan mencatatkan lonjakan sebanyak 364 kes atau 132 peratus dengan kerugian RM20.59 juta berbanding tempoh sama tahun lalu mencatatkan 275 kes dan kerugian RM5.19 juta.

"Sejak hari pertama mulakan tugas di sini saya beri tahu pegawai-pegawai yang saya nak banteras calling centre.

"Hari ini saya ucapkan tahniah kepada komersial, dalam sebulan kita dah strike lapan calling centre ini dan tahan 123 individu pelbagai warga negara malah turun menahan seorang dalang dalam salah satu serbuan," katanya.

Beliau berkata, sindiket penipuan ini dijalankan di premis yang mempunyai kawalan keselamatan khususnya di kondominium mewah bagi menyukarkan dihidu polis.

"Modus operandi mereka adalah hanya sasarkan mangsa warga negara luar, walaupun beroperasi di Kuala Lumpur tetapi sasaran dia di Turkiye, China, Amerika Syarikat dan Kanada.

"Jadi kita hendak siasatan bagaimana sindiket ini boleh duduk dalam kondominium mewah berkenaan sampai kami polis mahu masuk pun sukar. Saya nasihatkan pihak pengurusan bersama (JMB) mereka tidak boleh lepas tangan," katanya.

Allaudeen berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos 709 individu dipercayai terbabit dengan sindiket penipuan ditahan dan 64 kertas siasatan dibuka dan 56 suspek sudah dituduh setakat ini.

Katanya, 18 kertas siasatan dibuka membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, IPD Cheras (17), IPD Brickfields (14), IPD Sentul (sembilan), IPD Wangsa Maju (lima) dan satu di IPD Putrajaya.

"135 suspek ditahan di IPD Dang Wangi, IPD Brickfields (205), IPD Cheras (195), IPD Sentul (93), IPD Wangsa Maju (78) dan IPD Putrajaya (tiga).

"Dari jumlah itu IPD Dang Wangi menuduh 16 individu, IPD Brickfields (lapang), IPD Cheras (17), IPD Sentul (sembilang), IPD Wangsa Maju (lima) dan IPD Putrajaya (satu)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 1:14 PM