GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penipuan tidak bersemuka membabitkan medium laman sesawang, media sosial dan panggilan telefon menjadi trend jenayah siber memerangkap mangsa sehingga menyebabkan kerugian.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam tempoh Oktober hingga November tahun ini mencatatkan peningkatan kes membabitkan jenayah siber sebanyak 16 kes iaitu 72 kes pada November berbanding 56 kes pada Oktober dengan pelbagai modus operandi.

Menurutnya, antara jenayah siber yang dilaporkan bulan ini adalah membuat iklan atau tawaran kerja sambilan melalui aplikasi sosial yang menjanjikan kewangan tambahan kepada mangsa.

"Mangsa dikehendaki memasukkan wang ke dalam akaun syarikat mahupun persendirian untuk turut serta dalam skim berkenaan dan berkesudahan mangsa gagal memperoleh keuntungan atau bayaran yang dijanjikan oleh sindiket.

"Penipuan lain pula membabitkan panggilan palsu daripada pejabat pos (Macau Scam) yang mana sindiket membuat panggilan rambang kepada mangsa dan menyatakan akaun bank mangsa terbabit dalam suatu kesalahan jenayah.

"Sindiket akan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun peribadi buat sementara sehingga siasatan selesai kononnya dijalankan polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, bagi tempoh bulan ini, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menangkap seramai 13 orang berusia lingkungan 20 tahun hingga 58 tahun dengan lima orang dituduh di mahkamah membabitkan pemilik akaun atau kata lain keldai akaun.

"Polis menyarankan masyarakat agar tidak memberikan maklumat akaun peribadi atau membiarkan akaun peribadi digunakan oleh pihak ketiga serta peka dengan media sosial yang menyalurkan maklumat bagi membendung kegiatan sindiket jenayah siber.

"Polis juga menyarankan kepada masyarakat untuk sentiasa mengambil masa bagi menilai panggilan telefon atau iklan yang diterima dengan membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak polis supaya tidak menjadi mangsa penipuan jenayah siber," katanya.

Katanya, sekiranya ada maklumat atau aktiviti yang mencurigakan membabitkan sindiket seperti ini diminta menghubungi pihak polis IPD Sentul di talian 03-40482222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 8:20 PM