Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil dan Elysa Amirah


Kuala Lumpur: Serbuan polis di sebuah premis sekitar Kepong, di sini semalam membongkar kegiatan sindiket kutipan derma dalam talian yang dipercayai beroperasi sejak lima tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, 55 individu terdiri daripada 34 lelaki dan 21 wanita warga tempatan ditahan dalam serbuan jam 3 petang.

Menurutnya, sindiket itu juga menggunakan media sosial untuk mengiklankan derma bagi meraih simpati percuma daripada orang ramai.

"Modus operandi sindiket adalah menyasarkan syarikat dan individu untuk merayu sumbangan derma menggunakan nama tiga persatuan.

"Kutipan derma ini akan dimasukkan ke dalam tujuh akaun syarikat di mana ahli sindiket berkenaan akan menerima 10 hingga 20 peratus komisen daripada kutipan derma jika mencapai sasaran ditetapkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Menurutnya, serbuan dijalankan susulan maklumat risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Sentul.

Beliau berkata, pasukan serbuan merampas 108 buku resit, router (dua), telefon bimbit (126), dan komputer riba (54).

Katanya, antara dirampas termasuk skrip dan rakaman perbualan antara ahli sindiket dan mangsa yang disimpan di dalam komputer riba yang dirampas.

Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan kerugian dan pihak-pihak yang bersekongkol dengan kegiatan sindiket terbabit.

"Persatuan yang digunakan sindiket adalah asli dan kami sedang menyiasat pembabitan persatuan terbabit sama ada bersubahat atau tidak.

"Saya sudah tegaskan kita akan membuat pembanterasan 100 peratus atas kegiatan calling centre termasuk aktiviti seperti ini termasuk judi dalam talian," katanya.

Kesemua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 5:29 PM
ALLAUDEEN menunjukkan barangan rampasan kes 'Calling Centre' ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim.
ALLAUDEEN menunjukkan barangan rampasan kes 'Calling Centre' ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim.