Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Seramai 19 warga asing disyaki ahli sindiket penipuan tawaran kerja palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di sini yang dipercayai dijadikan pusat panggilan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sindiket terbabit disyaki sudah beroperasi kira-kira sebulan dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Vietnam.

Katanya, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Kajang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

"Seorang lelaki warga China, dan 12 lelaki serta enam wanita warga Vietnam ditahan dalam serbuan itu.

"Siasatan awal mendapati call centre ini disyaki menjalankan kegiatan penipuan tipu tawaran kerja sambilan yang tidak wujud secara dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek terbabit akan menghubungi mangsa menerusi aplikasi media sosial Vietnam, Zalo bagi mencari mangsa.

Katanya, selepas berjaya memancing sasaran, ahli sindiket akan mengarahkan mangsa terbabit untuk membuat pembelian menerusi portal e-dagang Vietnam, tiki.vn yang palsu.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 18 ke 45 tahun dibawa ke Mahkamah Kajang untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sindiket penipuan atas talian yang menjadikan daerah Kajang khasnya dan Selangor amnya sebagai hub aktiviti jenayah penipuan atas talian," katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan sindiket penipuan atau call centre boleh disalurkan ke talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 0389114242.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 5:58 PM