OMAR (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini. Foto MALAI ROSMAH TUAH.
OMAR (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini. Foto MALAI ROSMAH TUAH.
Junaidi Ladjana


POLIS menahan tiga lelaki termasuk remaja berusia 15 tahun dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di Jalan Tungku, Lahad Datu pada Jumaat lalu.

Serbuan jam 6.30 petang oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu merampas dadah jenis syabu seberat 11 kilogram bernilai RM552,900.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya merampas Perodua Bezza dan Perodua Alza serta menahan tiga suspek disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

“Ketika serbuan dijalankan, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri, namun gagal selepas kawasan berkenaan dikepung anggota polis.

“Soal siasat ke suspek membawa kepada penemuan satu kotak mengandungi 11 plastik warna biru yang disimpan di tempat duduk penumpang belakang kenderaan Isuzu D Max di hadapan sebuah kedai dobi di Jalan Seri Melor Tinggayan, Semporna.

“Setiap plastik itu berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 11 kilogram bernilai RM552,900,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah Superintendan Ahmad Jawila.

Katanya, ketiga-tiga suspek berusia antara 15 hingga 42 tahun dan salah seorang daripada mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Semua dadah yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari luar negara dan kita percaya Sabah dijadikan lokasi transit sebelum dihantar ke luar negara.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada tangkapan ini ada kaitan dengan rampasan sebanyak 51.9 kilogram dadah jenis syabu di Lahad Datu pada 3 Oktober lalu,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 4:39 PM