Gambar hiasan
Gambar hiasan
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Sebanyak RM2.556 juta Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 sudah disalurkan kepada 150 pemohon sehingga 31 Mei lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, jumlah itu berbanding 319 permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 yang diterima.

"Daripadanya, 150 permohonan telah diluluskan oleh Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin," katanya menggulung perbahasan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 di Dewan Rakyat, hari ini.

Usul kertas putih itu dibentangkan Lukanisman minggu lalu.

Lukanisman menjelaskan, Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 itu diberikan pemohon yang menjadi penerima vaksin Covid-19 dan mempunyai Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) yang serius atau hilang upaya kekal.

Katanya ia juga diberi kepada waris penerima vaksin yang meninggal dunia.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga 1 Jun lalu, sebanyak 8.5 juta dos vaksin pelbagai jenama diluput di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan gudang simpanan vaksin Covid-19.

Katanya, proses pelupusan dan pelaporan vaksin dalam simpanan dilaksanakan mengikut Tatacara Pengurusan Aset dan Tatacara Pengurusan Stor yang berkuat kuasa.

Menurutnya, pemantauan status pelupusan juga dilaksanakan secara berkala.

Sementara itu, katanya bagi sumbangan vaksin COVID-19 kepada negara luar, KKM menawarkan 1.89 juta dos vaksin kepada negara seperti Bangladesh, Myanmar, Laos dan Bosnia Herzegovina.

Beliau turut memaklumkan kerajaan pada 26 Mei lalu bersetuju agar baki 2.7 juta dos vaksin Covid-19 kanak-kanak keluaran Pfizer BioNTech akan ditukarkan kepada vaksin Covid-19generasi baharu dan disasarkan kepada golongan rentan tanpa implikasi kewangan tambahan.

Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, mengenai hala tuju vaksinasi Covid-19 untuk tahun 2023-2024, kerajaan melaksana selaras dengan syor terkini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mana pemberian vaksin disarankan terus diberi kepada individu yang berisiko tinggi.

"Ini termasuk warga emas berumur melebihi usia 60 tahun terutamanya individu dengan komorbid teruk atau obesiti teruk; individu berusia melebihi usia lima tahun dengan berisiko dan mudah dijangkiti, juga ibu mengandung dalam kalangan remaja dan dewasa serta kakitangan kesihatan barisan hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 5:14 PM