Siti Aminah Mohd Yusof

Bayan Lepas: Pasangan kembar yang bakal mendaftar masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada 18 Oktober ini bersyukur apabila seorang daripada mereka mendapat pengecualian yuran menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG).

Hilma Yasarah Hussain, 19, berkata dia terharu apabila Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed sendiri berkunjung ke rumahnya di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar di sini, hari ini untuk menyerahkan surat tawaran melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan.

"Alhamdulillah saya dan adik diterima masuk ke Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik. Pada mulanya bimbang juga sebab bukan sikit kos diperlukan bila kami masuk universiti serentak.

"Namun Jumaat lalu saya lega dan bersyukur apabila diberitahu terpilih sebagai penerima bantuan SULUNG. Kami niat nak belajar bersungguh-sungguh ubah nasib keluarga," katanya.

Sementara itu, Hilma Yasirah berkata dia dan kakaknya tidak pernah berpisah sejak kecil dan sebelum ini bersama-sama melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Kajihayat di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Anak kepada pasangan Hussain Shariff, 61, dan Nooraini Awang, 57, itu masing-masing memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.42 dan 3.63 selepas menamatkan pengajian pada Mei lalu dan turut merupakan calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, pernah terlintas di hati anak bongsu daripada empat beradik itu untuk menangguhkan pengajian ke peringkat universiti kerana tidak mahu membebankan bapanya yang bekerja sebagai pengumpul barangan lusuh dan buruh kampung dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.

"Saya fikir kalau kewangan tidak mengizinkan mungkin tidak apa kalau masuk lambat sikit tapi perancangan Allah lebih baik. Dalam keluarga kami belum ada adik beradik dapat sambung pengajian sampai peringkat universiti.

"Kami juga sepakat beralih daripada bidang Sains kepada Kejuruteraan Mekatronik kerana minat selain melihat peluang kerjaya lebih cerah dalam bidang itu," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul itu.

ABDUL Rahman (kanan) menyerahkan surat tawaran kemasukan USM menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) pengecualian bayaran yuran kepada Hilma Yasarah (kiri) sambil diperhatikan pasangan kembarnya Hilma Yasirah (dua dari kiri) serta ibu bapa mereka di Kampung Nelayan Teluk Kumbar. FOTO Danial Saad
ABDUL Rahman (kanan) menyerahkan surat tawaran kemasukan USM menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) pengecualian bayaran yuran kepada Hilma Yasarah (kiri) sambil diperhatikan pasangan kembarnya Hilma Yasirah (dua dari kiri) serta ibu bapa mereka di Kampung Nelayan Teluk Kumbar. FOTO Danial Saad

Dalam pada itu, Abdul Rahman, berkata program di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) memberi bantuan kewangan dalam bentuk pengecualian yuran kecuali yuran penginapan sepanjang tempoh pengajian di USM.

"SULUNG ini bermakna anak pertama dalam suatu keluarga B40 yang masuk universiti dan ini bermakna belum ada ahli keluarga mereka melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda.

"Kami menubuhkan jawatankuasa dalam proses membuat semakan dan saringan bagi mengenal pasti mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan. Bagi keluarga ini hanya kakak mendapat pengecualian yuran," katanya.

Beliau menjelaskan matlamat program itu adalah memperkasakan generasi keluarga B40 selain menjamin kebajikan mereka dalam aspek nasihat akademik, bimbingan kaunseling seterusnya membangunkan potensi dan membentuk jati diri kumpulan pelajar tersebut.

"Bermula tahun ini USM menyasarkan seramai 1,000 pelajar bagi pengambilan kategori SULUNG dengan keutamaan diberi kepada pelajar baharu namun pelajar sedia ada tanpa mengira tahun pengajian turut boleh memohon untuk memenuhi kuota yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 2:01 PM