SAIFUDDIN (kanan) melihat makanan percuma disediakan untuk mahasiswa memerlukan.
SAIFUDDIN (kanan) melihat makanan percuma disediakan untuk mahasiswa memerlukan.
Oleh Fazurawati Che Lah

Food Bank Siswa Universiti Sains Malaysia (USM) memberi manfaat kepada 350 mahasiswa yang dikenal pasti golongan B40 untuk menerima bantuan daripada program berkenaan.

Inisiatif Food Bank Siswa berkonsepkan Daripada Mahasiswa Kepada Mahasiswa itu ialah program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan nasib penuntut kurang berkemampuan terbela dengan bantuan dan sokongan bagi meneruskan pengajian.

Food Bank Siswa USM itu dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kampus Utama USM, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Saifuddin berkata, KPDNHEP melalui Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) mengambil langkah membuka ruang kepada semua pihak untuk bekerjasama menjayakan program itu supaya sumbangan itu mampu memberikan sinar baharu kepada mahasiswa kurang berkemampuan meneruskan perjuangan di USM.

“Pihak kementerian mengambil perhatian menangani kos sara hidup dihadapi mahasiswa yang kian meningkat.

MAHASISWA beramah mesra dengan Saifuddin (kanan).
MAHASISWA beramah mesra dengan Saifuddin (kanan).

“Berikutan itu, program Food Bank Siswa ini diadakan di setiap institut pengajian tinggi termasuk USM bagi membantu pelajar yang memerlukan,” katanya.

Kata Saifuddin, program itu akan digerakkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sukarelawan Food Bank USM yang akan menyelaras sumbangan serta mengenal pasti mahasiswa yang layak menerima.

“Saya berharap mahasiswa B40 ini bukan sahaja menerima bantuan, malah mereka sepatutnya diketengahkan USM untuk sama-sama menggerakkan program seperti ini.

“Ini sekali gus dapat mengasah bakat mereka, mengenal pasti kelebihan diri yang dimiliki seterusnya mampu berdikari bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Pada majlis tersebut, Saifuddin turut singgah di Dapur Pusat Islam USM bagi melihat aktiviti gotong-royong menyediakan makanan sempena program itu.

Selain itu, beliau turut meluangkan masa lebih satu jam beramah mesra bersama 300 penuntut USM melalui program Wacana bersama YB Menteri.

Sementara itu, Pendaftar USM yang mewakili Naib Canselor Dr Musa Ali berkata, USM sentiasa memberi perhatian kepada pelajar kategori B40 dengan menyediakan pelbagai bantuan untuk mereka.

“Tahun lalu, USM mengenal pasti 414 penuntut kategori B40 yang mana mereka ini bukan sahaja diberi bantuan, malah diketengahkan dengan pelbagai aktiviti dan program rasmi universiti supaya dapat mengasah bakat, mengintai kepakaran dan kekuatan yang dimiliki mereka untuk khidmat

bakti kepada universiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 8:44 AM