NORAINI (kanan) menyerahkan sumbangan kepada seorang pelajar terpilih bagi program SULUNG oleh KPT.
NORAINI (kanan) menyerahkan sumbangan kepada seorang pelajar terpilih bagi program SULUNG oleh KPT.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus cakna dengan permasalahan rakyat khususnya dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dirasai oleh semua golongan masyarakat terutamanya dalam kalangan B40.

Bertitik tolak daripada aspirasi yang dicetuskan Menteri Pengajian Tinggi Dr Noraini Ahmad ketika Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pengajian Tinggi pada 17 Januari lalu, KPT melaksanakan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia atau dikenali sebagai program SULUNG.

Program itu menjadi penanda aras kepada program seumpamanya iaitu First in Family di United Kingdom (UK) dan Australia serta program First-Generation College Student di Amerika Syarikat (AS).

KPT berkata, pelaksanaan program SULUNG itu bertujuan memberi peluang kepada generasi pertama dalam kalangan keluarga B40 yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi iaitu di peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas.

Katanya, dengan program itu, siswa SULUNG ini bukan saja mampu membawa kepada masa depan pelajar, malah dapat membawa keluarga mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Berpaksikan kepada semangat #KPTPrihatin, program ini adalah satu bentuk program pembangunan berstruktur khusus untuk B40 terpilih bagi membangunkan potensi diri agar kisah kejayaan mereka nanti dapat menjadi pemangkin pembangunan individu, keluarga dan komuniti.

PELAJAR terpilih galas harapan keluarga menjadi insan berjaya.
PELAJAR terpilih galas harapan keluarga menjadi insan berjaya.

"Program ini juga menyasarkan pelajar B40 yang memperoleh keputusan cemerlang, namun tidak dapat meneruskan pengajian kerana kekangan kewangan keluarga," kata KPT.

Mengulas lanjut, KPT berkata, program itu tidak dibuka untuk permohonan sebaliknya ia adalah berdasarkan kepada permohonan pelajar dalam sistem UPUOnline.

"Calon siswa SULUNG akan dikenal pasti oleh KPT berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan.

"Bagi pelajar yang terpilih, mereka bakal menerima empat manfaat iaitu laluan kemasukan khas ke universiti, bantuan kewangan dalam bentuk dermasiswa dan elaun, kebajikan dan pembangunan insaniah serta program peningkatan kebolehpasaran graduan," katanya.

KPT berkata, melalui inisiatif ini, pelajar akan ditaja sepanjang tempoh pengajian.

"Selain itu, mereka juga akan dibantu oleh pihak KPT serta universiti terbabit melalui pelbagai program intervensi dalam bentuk pembangunan akademik dan sahsiah.

"Menerusi inisiatif ini, kami berharap supaya graduan yang dilahirkan adalah seimbang dan holistik, merangkumi latihan kemahiran profesional, program kepemimpinan dan komuniti serta pendedahan dengan industri dan antarabangsa bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan apabila tamat pengajian kelak," katanya.

Bagi pelaksanaan Kohort 1 Tahun 2022, seramai 10 orang siswa SULUNG akan dipilih daripada lapan Universiti Awam (UA) perintis iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pelajar yang terpilih sebagai Siswa SULUNG untuk Kohort 1 ini pula akan dihubungi oleh pihak universiti untuk penyerahan surat tawaran SULUNG.

Contohnya, pada 26 September lalu terdapat dua pelajar di Johor menerima surat tawaran SULUNG iaitu Intan Nasuha Md Noh dan Nurul Aishah Mohd Dani yang masing-masing ditawarkan program Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di UKM.

Pada 29 September lalu pula, KPT menyerahkan surat tawaran SULUNG kepada Kaviarusu Linggam yang bakal menyambung pengajiannya dalam program Kejuruteraan Elektronik di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

KPT berkata, program dijadualkan dilancarkan pada 19 Oktober ini di UKM akan diperluaskan pelaksanaannya di semua UA di seluruh negara pada tahun hadapan.

"Justeru, KPT ingin menyeru kepada syarikat swasta dan badan korporat untuk bersama-sama KPT sebagai rakan strategik Program SULUNG untuk tampil ke depan menghulurkan sumbangan bagi membantu menjayakan program ini sama ada dalam bentuk kewangan, barangan atau apa-apa bentuk yang bersesuaian.

"Semoga dengan jalinan kerjasama ini, program itu akan dapat diperluaskan pelaksanaannya pada masa depan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai siswa SULUNG," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 7:01 AM