Omar Ahmad

Pasir Gudang: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan syarat pinjaman dan biasiswa ketat sebagai faktor utama kurangnya minat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menterinya, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin berkata, pelbagai kemudahan dan tawaran biasiswa ditawarkan bagi mengurangkan bebanan penuntut sepanjang di IPT.

Malah, kata beliau, menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) bagi anak-anak keluarga B40 yang pertama masuk ke universiti, mereka juga terkecuali membayar yuran pengajian.

"Sebanyak 10,000 tawaran atau tempat ditawarkan menerusi Program Sulung yang diperkenalkan pada Oktober tahun lalu.

"Menerusi program ini, penuntut hanya perlu membuat pinjaman untuk kos sara hidup dan penginapan, jadi sudah kurang kos itu," katanya selepas melakukan lawatan kerja di Politeknik Ibrahim Sultan di sini, hari ini.

Beliau menjawab dakwaan kononnya syarat ketat yang dikenakan untuk permohonan biasiswa atau pinjaman menyebabkan ramai pelajar lepasan SPM memilih tidak melanjutkan pengajian di IPT.

"Lain-lain kemudahan pinjaman yang kita sediakan ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ini kita beri kepada semua semua penuntut, syarat tidak ketat.

"Jadi, kalau mereka kata syarat ketat, itu bukan sebabnya. Saya ingat, penuntut yang tidak masuk IPT itu sebab tidak lulus atau pilih satu subjek yang tidak sesuai dengan kelayakan mereka. Bukan sebab syarat ketat biasiswa atau pinjaman.

"Masuk dahulu IPT, baru lihat sama ada mereka boleh dapat pinjaman atau tidak," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 3:37 PM
MOHAMMED Khaled pada lawatan kerja di Politeknik Ibrahim Sultan. FOTO Omar Ahmad
MOHAMMED Khaled pada lawatan kerja di Politeknik Ibrahim Sultan. FOTO Omar Ahmad