Noraini Ahmad.
Noraini Ahmad.
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia ditubuhkan bagi memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada siswa di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mempengerusikan jawatankuasa induk, manakala jawatankuasa pelaksana di peringkat institusi dipengerusikan naib canselor, rektor atau pengarah.

Noraini berkata, beberapa keputusan dipersetujui dalam mesyuarat pertama jawatankuasa pada Selasa lalu, antaranya, pengecualian bayaran sewa enam bulan kepada pengusaha kafe dan penyedia perkhidmatan makanan di kampus IPT awam.

Katanya, pengecualian diberikan supaya tanggungan kos boleh diserap bagi penurunan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

"Inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia menerusi Menu Keluarga Malaysia yang bernilai RM3.50 hendaklah bersesuaian dan mengambil kira kepelbagaian komposisi kaum di IPT.

"Pasukan Pemantau KPT – Kos Sara Hidup Siswa (KPTPantau) ditubuh bagi memantau secara berterusan kenaikan harga atau kos barangan dan perkhidmatan yang membabitkan sara hidup siswa di IPT.

"Pemerkasaan Inisiatif Food Bank Siswa menerusi penubuhan Hab Food Bank Siswa yang akan berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan barang keperluan siswa.

"Enam hab akan ditubuhkan mengikut zon, iaitu Utara, Tengah, Timur, Selatan, Sabah dan Sarawak. Sebagai projek rintis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju untuk beroperasi sebagai hab bagi zon Tengah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Noraini berkata, penyelarasan kadar upah program Job on Campus (JoC) akan diteliti semula agar selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022 dan pihak IPT disaran meningkatkan jumlah penempatan JoC.

Katanya, bukan hanya aspek makanan, Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa yang dibangunkan turut mengambil kira konteks sara hidup siswa yang lebih luas termasuk keperluan pengajaran dan pembelajaran, penginapan, pengangkutan dan yuran.

KPT juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan bagi melihat kebolehlaksanaan pemberian rebat atau pengecualian cukai kepada penyumbang tajaan, bantuan tunai, barangan atau perkhidmatan berkaitan keperluan siswa.

Beliau berharap semua inisiatif yang berpaksikan hasrat memperkasakan kebajikan pelajar di IPT itu mendapat sokongan serta kerjasama penuh semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 10:32 AM