Polis menahan seramai 198 individu yang dipercayai terbabit dengan aktiviti perjudian dalam talian haram menerusi Op Dadu Khas yang dilaksanakan dalam tempoh seminggu bermula 22 September lalu hingga semalam. FOTO POLIS JOHOR
Polis menahan seramai 198 individu yang dipercayai terbabit dengan aktiviti perjudian dalam talian haram menerusi Op Dadu Khas yang dilaksanakan dalam tempoh seminggu bermula 22 September lalu hingga semalam. FOTO POLIS JOHOR
Izz Laily Hussein

Johor Bahru : Polis menahan 198 individu yang dipercayai terbabit dengan aktiviti perjudian dalam talian haram menerusi Op Dadu Khas yang dilaksanakan dalam tempoh seminggu bermula 22 September lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menjalankan serbuan terhadap 171 premis seluruh negeri dalam tempoh itu.

Menurut beliau, semua suspek yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 66 tahun.

"Daripada jumlah suspek yang ditahan sepanjang operasi itu, seramai 174 adalah warga tempatan dan 24 warga asing.

"Dalam tempoh itu juga, kita turut merampas 208 unit telefon bimbit pelbagai jenama 76 mesin pencetak mudah alih dan wang tunai berjumlah RM39,123," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, semua premis yang diserbu itu kini dalam proses pembatalan lesen dan pemotongan bekalan elektrik.

"Kita sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengambil tindakan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(A)(a) dan 4B(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Pada masa sama, beliau berkata, operasi itu bertujuan membanteras kegiatan judi haram selain meningkatkan keyakinan kepada masyarakat dengan usaha-usaha diambil polis dalam membanteras gejala berkenaan.

"Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan seumpama itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Polis Johor menerusi talian 07-2212999 atau 07-225 4677," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 2:54 PM