SEBANYAK 15 buah premis di seluruh negeri ini dipotong bekalan elektrik selepas dipercayai menjalankan aktiviti judi atas talian antara awal bulan ini hingga semalam. FOTO ihsan Polis
SEBANYAK 15 buah premis di seluruh negeri ini dipotong bekalan elektrik selepas dipercayai menjalankan aktiviti judi atas talian antara awal bulan ini hingga semalam. FOTO ihsan Polis
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Sebanyak 15 premis di negeri ini dipotong bekalan elektrik selepas dipercayai menjalankan aktiviti judi atas talian dalam tempoh awal bulan ini hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, terdapat dua premis yang dibatalkan lesen oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Menerusi Op Dadu ini, sebanyak 115 premis diserbu dan diperiksa. Seramai 128 orang ditahan terdiri daripada 117 penjaga premis perjudian, manakala 11 lagi adalah pemain.

"Semua yang ditahan berusia antara 19 hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, menerusi operasi itu pihaknya merampas 142 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM18,607.

Katanya, bagi tangkapan mereka yang terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka.

Kamarul Zaman berkata, kejayaan operasi itu sebahagian besarnya adalah hasil daripada risikan dijalankan pihak polis dan sebahagian lagi daripada aduan serta maklumat orang ramai.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat kegiatan perjudian atas talian, orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau bilik gerakan Polis Johor menerusi talian 07-2212999 atau 07-2254677," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 1:57 PM