GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Johor Bahru: Polis menahan 17 individu disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dalam serbuan pada kira-kira 10.40 malam itu, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan 13 wanita warga asing serta tiga lelaki tempatan, berusia 21 hingga 49 tahun itu.

Beliau berkata, turut dirampas 22 telefon bimbit, 27 kondom, lima gulung tisu, empat helai tuala, tiga keping kad akses, dua botol pelincir dan wang tunai berjumlah RM3,400 serta 50 dolar Singapura.

"Kita akan menjalankan operasi secara berterusan bagi mengawal dan mencegah kegiatan pelacuran di negeri ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 327A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 372B KK, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan berkenaan boleh menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 11:54 AM