Kamarul Zaman Mamat menyempurnakan Program 'Town Hall' : Ancaman 'Scammer' Masa Kini di Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN). FOTO IZZ LAILY HUSSEIN/FOTO
Kamarul Zaman Mamat menyempurnakan Program 'Town Hall' : Ancaman 'Scammer' Masa Kini di Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN). FOTO IZZ LAILY HUSSEIN/FOTO
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis terus menggempur kegiatan judi dalam talian apabila menahan tujuh individu melalui tujuh serbuan berasingan dalam Op Dadu Khas di sekitar negeri ini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan itu terdiri daripada enam lelaki tempatan serta seorang wanita warga asing yang semuanya berusia dalam lingkungan 22 sehingga 60 tahun.

Katanya, operasi menyasarkan kegiatan judi dalam talian dan loteri tanpa lesen secara serentak.

"Dalam operasi ini kita turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, lima pencetak mudah alih dan wang tunai RM655," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi dijalankan sejak 22 September lalu dan sehingga semalam, secara keseluruhannya sebanyak 226 premis sudah diperiksa.

Katanya, dalam tempoh itu juga seramai 256 individu ditahan terdiri daripada 186 lelaki dan 39 wanita masing-masing 225 warga tempatan dan 31 lagi warga asing.

"Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 sehingga 66 tahun.

"Menerusi operasi dalam tempoh itu juga kita sudah merampas 267 telefon bimbit pelbagai jenama, 102 pencetak dan wang tunai RM48,350," katanya.

Menurut beliau, semua premis yang terbabit kini dalam proses pembatalan lesen dan pemotongan bekalan elektrik.

"Kita hanya menunggu kelulusan berbuat demikian daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(A)(a) dan 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 2:59 PM