PENDUDUK Kampung Padang Empang, Baling membersihkan lumpur di rumahnya selepas ditenggelami banjir. FOTO Bernama.
PENDUDUK Kampung Padang Empang, Baling membersihkan lumpur di rumahnya selepas ditenggelami banjir. FOTO Bernama.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah terus berkurangan kepada 1,550 mangsa daripada 468 keluarga setakat 8 malam ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, 12 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif di empat daerah.

"Lima PPS aktif di Kota Setar iaitu SK Taman Aman yang menempatkan 300 mangsa (102 keluarga), SMK Kepala Batas (94 mangsa, 33 keluarga), SK Seri Gunung (128 mangsa, 39 keluarga), SK Titi Gajah (55 mangsa, 32 keluarga) dan SMK Alor Merah (79 mangsa, 27 keluarga)," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dua PPS beroperasi di Pokok Sena iaitu SK Bukit Hijau yang mempunyai 208 mangsa (57 keluarga) dan Maahad Tarbiyah Derang (108 mangsa, 27 keluarga).

Katanya, satu PPS aktif di Jitra iaitu SK Malau untuk menempatkan 54 mangsa (10 keluarga) manakala empat PPS beroperasi di Baling.

PPS itu adalah SK Iboi yang mempunyai 94 mangsa daripada 36 keluarga, SMK Jerai yang menempatkan 56 mangsa (12 keluarga) dan SK Kampung Keda (98 mangsa, 26 keluarga).

Sebuah lagi PPS di daerah itu ialah Surau Annur yang menempatkan 276 mangsa daripada 67 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 9:15 PM