ANGGOTA APM membantu memindahkan mangsa banjir di daerah Padang Terap berikutan paras air yang meningkat. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM membantu memindahkan mangsa banjir di daerah Padang Terap berikutan paras air yang meningkat. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat setakat tengah hari ini iaitu seramai 273 dari 101 keluarga dipindahkan ke 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sik, Baling dan Padang Terap.

Ia mencatatkan peningkatan berbanding 264 orang dari 99 keluarga yang dipindahkan di keseluruhan PPS berkenaan jam 8 pagi tadi.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, jumlah terbaru itu diperolehi setakat jam 12 tengah hari tadi yang membabitkan 15 PPS di negeri ini.

Beliau berkata, dua PPS di Sik iaitu di SK Gulau mencatatkan jumlah 19 mangsa dari lima keluarga manakala SK Sik pula menempatkan seramai sembilan mangsa dari satu keluarga yang menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di Sik 28 orang dari enam keluarga.

"Bagi 12 PPS di Baling pula mencatatkan seramai 235 mangsa dari 89 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Tunku Putera (3 mangsa, satu keluarga), PPS Siong (28 mangsa, 11 keluarga), PPS SK Bandar (9 mangsa, 4 keluarga), SK Tanjung Pari (23 mangsa, lapan keluarga), PPS SK Bayu (25 mangsa, 12 keluarga).

"Selain Itu, PPS Titi Gantung menempatkan seramai 44 mangsa dari 11 keluarga, PPS Dewan Banggol Derom (17 mangsa dari empat keluarga), PPS Maktab Mahmud Baling (31 mangsa dari 19 keluarga), SK Malau (17 mangsa dari enam keluarga), SMK Parit Panjang (19 mangsa dari tujuh keluarga), PPS Surau Barakah Tembak B (10 mangsa, dua keluarga) dan PPS Kampung Padang, Kupang (sembilan mangsa dari empat keluarga)," katanya.

Saifuddin berkata, jumlah mangsa di PPS Bukit Tampoi di Padang Terap pula masih kekal 10 mangsa dari enam keluarga.

Beliau berkata, pihaknya bersiap sedia untuk melakukan pemindahan sekiranya masih terdapat mangsa di kawasan yang dinaiki air di tiga daerah berkenaan atau daerah lain di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 1:17 PM