Panduan ringkas penjagaan diri ketika menjalani kuarantin kendiri di rumah jika dijangkiti Covid-19. - FOTO Hiasan
Panduan ringkas penjagaan diri ketika menjalani kuarantin kendiri di rumah jika dijangkiti Covid-19. - FOTO Hiasan
Hanis Aliaa Hidzir

SITUASI Covid-19 ketika ini menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-13 berbanding tempat ke-115 pada Ogos tahun lalu dalam senarai Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei's Covid Recovery Index.

Sementara itu, sehingga 24 Januari 2022, 97.9 peratus populasi dewasa di Malaysia telah divaksin sepenuhnya1 dan lebih 80 peratus remaja berusia 12 sehingga 17 tahun di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin2.

Kedudukan indeks pemulihan dan peratusan vaksinasi ini menunjukkan Malaysia berada di landasan tepat menuju situasi lebih baik dan semakin hampir kepada pemulihan.

Walaupun negara sedang kembali normal, orang ramai masih perlu terus mengamalkan pengawalan kendiri dan tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dalam menangani Covid-193

Dengan adanya kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran, pengesanan kes aktif boleh dilakukan dengan mudah, membolehkan individu segera mengasingkan dan merawat diri sendiri di rumah bagi mengekang penyebaran Covid-194.

Tiga langkah segera jika disahkan positif

ImagePakar Perundingan Pernafasan & Perubatan Dalaman, Dr Hilmi Lockman.

Menurut Pakar Perundingan Pernafasan & Perubatan Dalaman Dr Hilmi Lockman, individu dan kontak rapat kes positif Covid-19 perlu menjalani ujian kendiri Covid-19.

"Orang ramai tanpa mengira status vaksinasi yang menyertai aktiviti melibatkan isi rumah berbeza turut digalakkan untuk menjalani ujian Covid-195."

Ini termasuklah mereka yang melakukan perjalanan merentas negeri, menghadiri perhimpunan keagamaan besar-besaran, menyertai kejohanan sukan atau rekreasi, majlis perkahwinan, majlis sosial dan sebagainya5.

Kata Dr Hilmi, langkah pertama sekiranya keputusan ujian saringan didapati positif, orang ramai perlu segera melaporkan keputusan ujian menerusi MySejahtera6 bagi tujuan kemas kini data.

Seterusnya, individu yang positif perlu mengasingkan diri serta-merta daripada individu lain bagi memutuskan rantaian jangkitan selain perlu mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Home Surveillance Order) yang dikenakan Kementerian Kesihatan7.

"Langkah paling penting ialah memaklumkan keputusan ujian kendiri Covid-19 kepada kontak rapat dan kunjungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) berdekatan untuk tujuan penilaian kesihatan, sebelum status kesihatan individu terbabit dapat dimuat naik ke dalam aplikasi MySejahtera."

Ditanya mengenai saranan tempoh pengasingan kendiri yang sepatutnya dilakukan, Dr Hilmi berkata, pesakit tidak bergejala mesti menjalani kuarantin di rumah selama lima hari bagi mereka yang menerima dos penggalak Covid-19 dan tujuh hari bagi mereka yang lengkap, tidak lengkap atau tiada vaksinasi.

Panduan jalani kuarantin kendiri di kediaman

Ketika temubual, Dr Hilmi turut berkongsi panduan kuarantin di rumah yang boleh diambil oleh individu bagi menjaga diri dan menghalang penyebaran virus sekiranya mereka diuji positif Covid-19.

"Tinggal di rumah di sepanjang tempoh pemantauan kendiri dan pastikan anda boleh dihubungi setiap masa8,9.

"Kekalkan penjarakan sosial dengan ahli isi rumah yang lain, hadkan pergerakan di dalam rumah dan jangan sesekali membenarkan tetamu datang ke rumah10.

"Patuhi langkah-langkah pencegahan asas seperti sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar daripada bilik dan elak daripada bersentuhan dengan orang lain, kerap mencuci tangan serta sentiasa mengamalkan etika yang baik apabila batuk.

Dr Hilmi juga menegaskan pesakit untuk menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk atau bersin dan membuang tisu ke dalam bakul sampah tertutup serta segera mencuci tangan dengan sabun9.

"Maklumkan kepada kontak rapat anda bahawa mereka mungkin telah terdedah kepada Covid-19 kerana seseorang yang dijangkiti boleh menyebarkan Covid-19 mulai 48 jam sebelum menunjukkan sebarang gejala atau diuji positif. Dengan cara ini, anda turut membantu melindungi semua orang11," tambahnya.

Selain itu, antara panduan lain yang wajar diamalkan individu yang menjalani kuarantin di rumah ialah:

  • Hadkan jarak dengan orang yang sihat sekurang-kurangnya satu meter9
  • Buka semua tingkap di rumah untuk pengudaraan yang baik9,10
  • Jangan berkongsi tuala, perkakas rumah, perkakas dapur dan barangan pembersihan diri9,10
  • Jika boleh10,11 tinggal di bilik berasingan daripada ahli isi rumah yang lain
  • Gunakan bilik air yang berasingan sekiranya boleh12
  • Elakkan dari menggunakan pengangkutan awam, berkongsi kenderaan, atau teksi11
  • Jaga diri, dapatkan rehat yang cukup dan kekal terhidrat

Selain itu, Dr Hilmi turut menyarankan pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin kendiri di rumah untuk mengambil paracetamol berpandukan dos yang dibenarkan pada label bagi membantu melegakan gejala Covid-19 seperti kesakitan dan demam13,14,15.

"Dua pil 500mg paracetamol terbukti boleh memberikan kelegaan secara berkesan kepada orang dewasa. Pesakit boleh mengambil satu hingga dua pil 500mg paracetamol setiap empat hingga enam jam tetapi tidak boleh lebih daripada lapan pil sehari16,17," katanya.

Dalam pada itu, Dr Hilmi mengingatkan pesakit untuk sentiasa memantau perkembangan kesihatan dan jika gejala semakin serius, segera ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan jika mula menunjukkan tanda-tanda kecemasan seperti:20,21:

  • Masalah pernafasan18
  • Sakit atau tekanan yang berterusan di dada
  • Keliru
  • Ketidakupayaan untuk bangun
  • Kulit pucat, bibir, kuku berwarna kelabu atau biru, bergantung pada warna kulit

*Senarai ini bukan semua gejala yang mungkin terjadi. Sila hubungi pakar perubatan untuk sebarang gejala lain yang teruk atau membimbangkan.

Bagi pesakit Covid-19 yang tidak bergejala, mereka boleh terus membuat pemantauan kendiri setiap hari.

Secara amnya, sikap bertanggungjawab menjalani kuarantin kendiri di rumah penting agar pihak berkuasa dapat melaksanakan pemantauan awal kes positif seterusnya mengekang penularan virus Covid-19 di Malaysia.


Rujukan

1 COVIDNOW. Vaccinations in Malaysia. 25 January 2022.

2 The Edge Markets. Malaysia's Covid-19 vaccination roll-out for teens among world's fastest, says Khairy. 22 October 2021.

3 The Star. Covid-19: Situation improving, Malaysia ready to enter endemic phase, says Health DG. 11 October 2021.

4 The Star. Covid-19 testing at home. 20 July 2021. 

5 Ministry of Health Malaysia. National COVID-19 Testing Strategy. November 2021.

6 Kementerian Kesihatan Malaysia. COVID-19 Self-Test. 

7 Kementerian Kesihatan Malaysia. Pemantauan Kendiri Kes Positif COVID-19 di Rumah – Tempoh Pengasingan. October 2021. 

8 Ministry of Health Malaysia. Annex 10b Home Assessment Tool. July 2021. 

9 Kementerian Kesihatan Malaysia. Pemantauan Kendiri Kes Positif COVID-19 di Rumah – Pemantauan Kendiri. October 2021. 

10 Ministry of Health Malaysia. Category 1 - COVID-19 MALAYSIA. March 2021. 

11 Centers for Disease Control and Prevention. What to Do If You Are Sick. March 2021. 

12 Centers for Disease Control and Prevention. COVID-19 Quarantine and Isolation. October 2021. 

13 World Health Organization (WHO). Clinical management of COVID-19: Interim Guidance. 27 May 2020. 

14 European Medicines Agency (EMA). EMA gives advice on the use of non-steroidal anti-inflammatories for COVID-19. 18 March 2020. 

15 National Institutes of Health (NIH). Concomitant Medications | COVID-19 Treatment Guidelines. 4 August 2021. 

16 Gaul C. Eshalier A. Dose Can Help to Achieve Effective Pain Relief for Acute Mild to Moderate Pain with Over the Counter Paracetamol? Open Pain Journal, 2018.11,12.2.

17 CADTH 2016, 1000 mg versus 600/650mg Acetaminophen for Pain or Fever: A Review of Clinical Efficacy. Canadian Agency for Drugs and Technologies in Health.

18 Kementerian Kesihatan Malaysia. What should I do if I have tested positive for COVID-19? 3 August 2021. 

19 World Health Organization (WHO). Advice for the public: Coronavirus disease (COVID-19). 1 October 2021. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 12:28 PM