Balqis Jazimah Zahari

Tapah: Lima lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar kira-kira 113 kilogram (kg) dadah disyaki Methamphetamine, Jumaat lalu.

Kelima-lima tertuduh, A Tanabalan,31; L Vichnesh, 30; R Sathiswaran, 30; R Suresraj, 33; dan R Sivaraj, 29, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan bagi kelima-lima tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya berat kasar iaitu 111,326 gram disyaki Methamphetamine.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bangsal di Chenderiang, 9.45 pagi, 26 Ogos lalu.

TERTUDUH diiringi polis di Mahkamah Majistret Tapah. FOTO Balqis Jazimah Zahari
TERTUDUH diiringi polis di Mahkamah Majistret Tapah. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria dan tertuduh diwakili peguam bela Charan Singh.

Pada prosiding sama, tertuduh Tanabalan pada tarikh dan lokasi sama turut didakwa mengedar dadah berbahaya seberat 2,075 gram disyaki Methamphetamine.

Mahkamah menetapkan 3 November hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 12:40 PM