MOHD Saiful Bahri (kiri) ditahan lagi atas kesalahan dadah bersama dua lagi rakannya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
MOHD Saiful Bahri (kiri) ditahan lagi atas kesalahan dadah bersama dua lagi rakannya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


BARU dua bulan dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan dadah, seorang lelaki sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Berang kerana kesalahan sama.

Tertuduh, Mohd Saiful Bahri Talib, 41, berdepan tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis heroin serta Methamphetamine bersama dua rakannya, Mohammed Shukri Mohamad, 49, dan Mohd Afiq Hazli Mohamed Alias, 32.

Ketiga-tiga tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama mengedar heroin dengan berat kasar 19.38 gram di sebuah bangsal di kawasan Kampung Alor Limbat, Marang, pada jam 1 tengah hari, 5 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabitan.

Selain itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki 50 biji pil Methamphetamine dengan berat kasar 7.28 gram, dan pendakwaan mengikut Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan diwajibkan sebatan tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa memiliki tiga biji pil disyaki Methamphetamine dengan berat kasar 0.76 gram, dan berdepan hukuman mengikut Seksyen 12 (3) ADB 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Semua kesalahan itu dilakukan di tempat, masa dan tarikh sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Tuan Rosnah Tuan Husain, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan pertama, namun mereka diberi ikat jamin RM12,000 bagi setiap seorang untuk pertuduhan kedua dan ketiga.

Sebut semula kes ditetapkan 15 September depan di Mahkamah Majistret Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 2:44 PM