NANTA, gambar fail. FOTO NSTP
NANTA, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum menetapkan tarikh untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak.

Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau belum dimaklumkan oleh pucuk pimpinan tertinggi untuk memanggil mesyuarat itu.

"Setakat ini belum menerima apa-apa lagi (berhubung mesyuarat). Tunggu sahajalah, mungkin boleh dapatkan Premier (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) untuk mengetahuinya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November depan sebagai tarikh pengundian bagi PRK Jepak.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 21 Oktober manakala tarikh pengundian awal pula pada 31 Oktober.

PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandang kawasan itu, Datuk Talib Zulpilip, 72, akibat komplikasi buah pinggang, hati, jantung dan kencing manis pada 15 September lalu.

Allahyarham Talib menyandang Dewan Undangan Negeri (Dun) Jepak sejak 1996 dan pada 2009 beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.

Dun Jepak yang terletak di Bintulu mempunyai seramai 22,804 pengundi berdaftar iaitu 22,761 pengundi biasa dan 43 polis.

Secara tradisinya, Dun Jepak ditandingi oleh calon parti tunjang GPS iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 5:04 PM