Calon GPS PRK bagi DUN N67 Jepak, Iskandar Turkee ketika ditemui media ketika berkempen di Kampung Warisan Jepak hari ini. FOTO BERNAMA
Calon GPS PRK bagi DUN N67 Jepak, Iskandar Turkee ketika ditemui media ketika berkempen di Kampung Warisan Jepak hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bintulu: Pemilihan calon bukan dalam kalangan ahli mana-mana parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Jepak bukan isu besar, kata Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak Noriha Ali.

Beliau berkata, pimpinan di peringkat akar umbi serta penyokong parti menghormati keputusan dibuat Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pemilihan bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Iskandar Turkee, 54, sebagai calon gabungan itu, kata beliau, ia satu kelebihan kerana Iskandar mempunyai pengalaman luas dalam kegiatan sosial masyarakat.

"Menurut saya ini adalah pilihan calon yang tepat untuk kita terus menyambung legasi ditinggalkan oleh penyandang.

"Kita harapkan visi dan misi yang beliau (Iskandar) akan perjuangkan nanti akan bawa pembangunan kepada Jepak terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi, sosial juga kesihatan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, mengulas mengenai strategi kempen Pergerakan Wanita PBB Jepak dalam PRK itu, Noriha berkata, mereka antara lain akan mengambil pendekatan rumah ke rumah pengundi untuk memperkenalkan calon GPS.

Beliau berkata, pertambahan jumlah pengundi terutamanya golongan muda pada PRK itu juga satu cabaran yang harus dihadapi gabungan itu.

PRK Dun Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Iskandar, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

PRK Dun Jepak pada 4 November ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.

Dun Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.

GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 1:18 PM