GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah direman enam hari bermula hari ini hingga Ahad ini bagi membantu siasatan meminta rasuah berjumlah RM3,000.

Perintah reman terhadap kesemua mereka berusia 24 hingga 30 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor, hari ini.

Permohonan reman dibuat bagi siasatan dijalan dibawah seksyen 16(a) (B) Akta SPRM 2009.

Semalam, menurut sumber SPRM, kelima-lima suspek lelaki terbabit ditahan di pejabat SPRM Negeri Johor di sini, kira-kira jam 8 malam.

"Difahamkan, kesemua suspek bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kes kesalahan di bawah seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk,"maklumnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 10:38 AM