Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ketika tiba di lokasi terakhir Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 di jeti Kampung Tanjung Gahai,Kuala Lipis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ketika tiba di lokasi terakhir Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 di jeti Kampung Tanjung Gahai,Kuala Lipis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Amir Hamzah Nordin

Lipis: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua parti politik jangan menjadi punca memecah belah dan bertelagah dalam kalangan rakyat.

Baginda bertitah, parti politik hanyalah satu wadah untuk ke arah demokrasi di dalam pentadbiran sama ada di peringkat negara atau negeri.

"Alhamdulillah, pagi tadi di Masjid Kampung Gintong, sebelah kiri saya ada Yang berhormat Exco daripada Barisan Nasional, sebelah kanan saya ada Yang Berhormat Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) daripada Pas.

"Parti politik sebagai wadah demokrasi kepada pentadbiran negara dan negeri, jangan disebabkan politik, rakyat saya berpecah dan bertelagah," titah baginda.

Baginda berkenan bertitah di majlis Penutupan Ekspedisi Mahkota: Mudik Sungai Pahang di Kampung Tanjung Gahai di Lipis.

Turut mengiringi baginda adalah Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan exco.

Baginda turut bertitah, kerajaan negeri untuk mengenal pasti hutan yang menjadi punca aliran sungai agar dapat mewartakan sebagai kawasan hutan tadahan air.

"Jangan benarkan sebarang projek pembalakan, pembangunan mahu pun ladang-ladang hutan dibuat di kawasan ini," titah baginda.

Baginda turut menyifatkan Ekspedisi Mahkota: Mudik Sungai Pahang sebagai platform untuk menyantuni rakyat di Pahang dan menjadi asas kepada silaturahim antara baginda dan institusi istana dengan rakyat.

Selain melindungi rakyat, baginda juga bertanggungjawab untuk menyatupadukan rakyat dalam semangat kekeluargaan Pahang dan saling menyayangi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 5:03 PM