Iskandar Shah Mohamed


SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta jemaah haji supaya tidak mudah menyebar berita dan ketidakpuasan hati mereka di media sosial sepanjang menjalani rukun Islam kelima itu.

Baginda bertitah, ia hanya merumitkan lagi keadaan dan tidak menyelesaikan masalah.

“Beta mengucapkan syabas kepada Tabung Haji (TH) atas kesungguhan dalam memastikan kebajikan jemaah haji sentiasa terpelihara. Setiap tahun, perkhidmatan dan prasarana disediakan bertaraf dunia dan diiktiraf sebagai yang terbaik.

“Kita harus bersyukur dengan adanya sebuah badan itu yang menjaga kebajikan jemaah haji negara dan jika ada sebarang kekurangan, berbincanglah dengan pegawai Tabung Haji secara baik.

“Sentiasalah berhubung dengan pekerja-pekerja haji dan mengikuti segala arahan yang dibuat oleh pihak Lembaga Tabung Haji,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor anjuran Lembaga TH di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH Datuk Seri Zukri Samat dan Pengarah TH negeri Mohd Nasir Mohd Yusoff.

Sultan Sharafuddin bertitah, jemaah haji Malaysia antara jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada peraturan yang ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Beta berharap jemaah haji terus mengekalkan disiplin diri ketika berada di Tanah Suci dan menjaga nama baik Selangor serta negara.

“Jemaah haji diharap menumpukan perhatian kepada ibadah dan bersabarlah atas segala dugaan yang mungkin akan dilalui terutama ketika berada di padang Arafah, Muzdalifah dan Mina,” titah baginda.

Baginda bertitah, haji adalah satu perjalanan yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan mengenai ibadat haji yang jelas.

“Justeru, beta menasihatkan sepanjang berada di Tanah Suci, bersihkan niat dan gunakan sepenuh masa serta tenaga untuk melaksanakan amal ibadah supaya beroleh haji mabrur.

“Jangan terlalu leka membuang masa dengan melakukan perkara tidak bermanfaat seperti berbual kosong, membeli-belah dan leka menggunakan telefon bimbit.

“Gunakan setiap waktu yang ada untuk memperbanyakkan ibadat dengan pergi ke masjid untuk berjemaah, perbanyakkan solat sunat, membaca Al-Quran dan berzikir,” titah baginda.

Titah Sultan Sharafuddin, jemaah haji turut dinasihatkan menjaga kesihatan menerusi senaman ringan, rehat secukupnya dan nasihat doktor dalam penjagaan kesihatan termasuk pemakanan ubat.

“Apabila tiba di Tanah Suci nanti, lipat gandakan penjagaan kesihatan dan jika ada masalah kesihatan, segeralah ke klinik Tabung Haji di Makkah atau Madinah untuk mendapatkan rawatan bagi mengelakkan ia berlarutan.

“Beta juga menyeru jemaah haji saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain. Elakkan daripada bertengkar dan melakukan perkara yang boleh menimbulkan kekecohan,” titah baginda.

Kursus dua hari bermula semalam itu disertai 5,500 bakal jemaah haji dari negeri ini yang dijadualkan berangkat ke Tanah Suci bermula 4 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 12:09 PM
SULTAN Sharafuddin berkenan bersalaman bersama bakal haji pada Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar
SULTAN Sharafuddin berkenan bersalaman bersama bakal haji pada Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar