Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan, Datuk Aimi Jusoh pada sidang media di pejabat Peladang PPK Kangkong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan, Datuk Aimi Jusoh pada sidang media di pejabat Peladang PPK Kangkong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kelantan komited untuk mengeluarkan bekalan beras tempatan yang mencukupi bagi menampung keperluan di negeri ini.

Pengerusinya Datuk Aimi Jusoh berkata, pihaknya akan tetap mengeluarkan beras mengikut keperluan penduduk walaupun berlaku kenaikan harga padi mentah.

Menurutnya, kenaikan harga padi menjadi cabaran utama untuk mendapatkan bekalan kerana difahamkan harga padi meningkat bukan saja di Kedah, Perak, namun juga di Kelantan.

"Padi mentah di Kelantan dijual dengan harga RM1,680 satu tan. Ia memberi tekanan dan cabaran kepada kami yang memiliki kilang untuk mendapatkan sumber padi mentah.

"Di peringkat kilang, kami hanya dibenarkan jual RM2,250 untuk satu tan beras, pemborong kami tidak boleh jual lebih daripada RM2,540 satu tan dan runcit tidak lebih RM2,600 atau RM2.60 sekilogram.

"Dengan segala cabaran, tekanan dari segi kewangan dan sebagainya, namun kami cuba pertahankan. Kami tetap dan istiqamah akan terus membekal dan menghasilkan beras berkualiti serta mencukupi kerana itu sasaran kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran beras tempatan di PPK Kangkong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kawal Selia Padi Beras Kelantan, Mohamed Fadhli Abdul Azid berkata, masalah bekalan beras putih tempatan di Kelantan tiada kesan besar kerana negeri ini adalah antara pengeluar beras terbesar Malaysia selain Kedah dan Perak.

Katanya, keperluan beras di Kelantan untuk sebulan adalah antara 11,000 hingga 12,000 tan metrik.

"Kalau ikutkan stok semasa di peringkat pemborong, pengilang dan runcit ada lebih kurang 11,700 tan metrik dan mencukupi untuk menampung keperluan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 3:51 PM