Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Peningkatan harga beras import mendorong lebih 50 peratus rakyat negeri ini memilih untuk membeli beras putih tempatan.

Pengerusi Pertubuhan Peladang (PPK) Kelantan, Datuk Aimi Jusoh berkata, jika sebelum ini masyarakat lebih menggemari beras import berikutan ia mudah didapati dan negeri ini juga berdekatan dengan negara jiran.

Namun katanya, sejak harga beras import naik, penduduk negeri ini mula beralih apabila memilih membeli beras putih tempatan untuk keperluan keluarga.

"Kita dapati lebih 50 peratus penduduk Kelantan mula memilih beras tempatan atas beberapa faktor terutama kenaikan harga beras import.

"Beras tempatan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan adalah berkualiti tinggi dan bebas daripada bahan kimia.

"Ia dijual murah iaitu di bawah paras harga kawalan kerajaan masing-masing RM13 bagi pek lima kilogram (kg) serta RM25.50 untuk pek10 kg," katanya ketika ditemui selepas pelancaran beras tempatan di PPK Kangkong, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kawal Selia Padi Beras Kelantan, Mohamed Fadhli Abdul Azid dan Pemangku Pengurus Besar PPK Kangkong, Mohd Tarmizi Sulaiman.

Aimi berkata, walaupun permintaan beras putih tempatan di pasaran meningkat, bekalan yang dikeluarkan PPK adalah mencukupi.

"Bekalan padi ini kita dapati daripada petani di bawah PPK dan ia kemudian diproses serta dibungkus di kilang sebelum dijual kepada ahli dan pasaran Kelantan.

"Sehingga kini, seramai 90,000 ahli PPK di seluruh negeri ini dengan 70 peratus daripadanya adalah petani yang mengusahakan antara 26,000 hingga 27,000 hektar sawah padi.

"Dari hasil pengeluaran, petani kita dapat keluarkan antara empat hingga enam tan padi bagi keluasan 0.4 hektar sawah di dalam jelapang, manakala tiga tan untuk sawah di luar jelapang," katanya.

Katanya, pengeluaran padi dalam kawasan jelapang tinggi berikutan menerima jumlah air mencukupi, manakala di luar jelapang rendah kerana ia hanya menerima air semulajadi termasuk hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 2:53 PM
Datuk Aimi Jusoh (kanan) bersama Pengarah Kawal Selia Padi Beras Kelantan, Mohamed Fadhli Abdul Azid (kiri)  memeriksa beras tempatan yang dijual kepada penduduk setmpat berjenama Kangkong seberat lima kilogram dengan harga RM13 di Kedai Peladang PPK Kangkong.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Datuk Aimi Jusoh (kanan) bersama Pengarah Kawal Selia Padi Beras Kelantan, Mohamed Fadhli Abdul Azid (kiri) memeriksa beras tempatan yang dijual kepada penduduk setmpat berjenama Kangkong seberat lima kilogram dengan harga RM13 di Kedai Peladang PPK Kangkong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR