MAFI komited memastikan rangkaian  bekalan makanan di Malaysia kekal berada di tahap stabil, mencukupi.
MAFI komited memastikan rangkaian bekalan makanan di Malaysia kekal berada di tahap stabil, mencukupi.

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) komited memastikan rangkaian dan rantaian bekalan makanan di Malaysia kekal berada di tahap stabil, mencukupi dan terkawal selain akses yang sentiasa tersedia kepada orang ramai.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah susulan dan persediaan akan dilaksanakan dalam memastikan semua rangkaian dan rantaian dalam aktiviti sektor pertanian dan industri makanan termasuk ekosistemnya tidak akan terjejas sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SSP) ini.

Katanya, Mafi menganggarkan keperluan sebanyak 100,000 tan metrik sehingga 150,000 tan metrik beras dalam tempoh 14 hari pelaksanaan SSP, dengan jumlah ini termasuk andaian sekiranya berlaku pembelian panik oleh orang ramai.

Beliau berkata, bekalan keperluan itu dapat ditampung berdasarkan kedudukan stok beras semasa sebanyak 764,000 tan metrik pada masa ini yang berada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

"Bagi memastikan bekalan dan pengeluaran beras berterusan dan tidak terganggu, Mafi akan memastikan proses penanaman padi dan juga operasi kilang padi dan beras dapat beroperasi pada kadar yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN.

"Ini termasuk kebenaran pengedaran input pertanian seperti baja, benih padi dan penggunaan jentuai di sepanjang tempoh terbabit.

"Penanaman dan penuaian padi pada masa ini sedang berjalan di beberapa negeri seperti di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

"Pengedaran beras di peringkat pemborong dan peruncit juga dibenarkan untuk beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN bagi memastikan setiap pelosok daerah dan kawasan tak terjejas bekalan makanan utama," katanya.

Menurutnya, kedudukan stok semasa bekalan ikan negara berjumlah 185,000 tan metrik sebulan, berbanding keperluan semasa 155,000 tan metrik sebulan.

Sejumlah 89 Pasar Nelayan dan 33 Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) masih beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh SSP ini, manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ia tertakluk kepada arahan pihak berkuasa tempatan dan SOP yang ditetapkan oleh MKN.

Bagi menjamin akses orang ramai terhadap keperluan bekalan makanan, Mafi melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membuka 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara.

Ia terdiri daripada 24 buah Pasar Tani Kekal, tiga MyFarm Outlet, 14 Pusat Operasi Fama dan dua Agrobazaar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 7:01 AM