PROGRAM Jualan Rahmah (PJR) di Ibu Pejabat Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA). FOTO Mohd Adam Arinin
PROGRAM Jualan Rahmah (PJR) di Ibu Pejabat Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA). FOTO Mohd Adam Arinin
Rafiqah Dahali

Papar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan dan memperluaskan lagi Program Jualan Rahmah (PJR) Ramadan membabitkan 450 lokasi secara berjadual di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, PJR Ramadan masih mengekalkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.

Menurutnya, selain jualan barang keperluan kering seperti kebiasaan, PJR Ramadan akan membabitkan penawaran jualan barangan keperluan harian lain seperti ayam, daging lembu, ikan dan pelbagai hasil laut, beras dan telur ayam.

Katanya, bekalan produk yang terbabit pada jualan murah itu juga membabitkan kerjasama daripada agensi lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Jadi kita harapkan dengan adanya PJR Ramadan ini, kita dapat membantu rakyat khususnya golongan sasar mendapatkan bekalan barang kering, barang basah, barang persiapan untuk membuat kuih raya dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelancaran program terbabit akan dilaksanakan di Putrajaya serta-merta pada hari pertama Ramadan.

"Jadi kita mengharapkan kepada semua masyarakat untuk menyemak jadual 450 siri PJR ini melalui pautan laman sesawang rasmi KPDN untuk mengetahui lokaai PJR yang akan dianjurkan di kawasan sekitar mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Sesi Walkabout Program Jualan Rahmah Madani bertempat di Padang Kawad Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 12:57 PM