NORAZREENA dalam keadaan sihat selepas menjalani pembedahan.
NORAZREENA dalam keadaan sihat selepas menjalani pembedahan.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: “Alhamdullilah, pembedahan kami selesai semalam (kelmarin) dan kami stabil,” kata ibu kanak-kanak gagal fungsi hati, Norazreena Ahmad, 36, yang kini berada di Hospital Renji di Sekolah Perubatan Universiti Jiao Tong, Shanghai, China.

Norazreena berkata, dia bersyukur kerana hasratnya menyumbang 30 peratus hatinya kepada anak bongsu, Alfieya Masri, 11 bulan, menjadi kenyataan.

Menurutnya, ia ikhtiar terakhirnya bagi menyelamatkan nyawa anaknya.

“Alfieya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dia sudah sedar. Saya harap semua pihak mendoakan kami,” katanya dalam pesanan menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Norazreena bersama suami, Masri Moien, 36, dan bayinya berlepas ke China, 23 Mei lalu.

Pada 19 Mei lalu Harian Metro memaparkan kisah Alfieya, penghidap Biliary Atresia yang memerlukan pemindahan hati dilakukan dengan segera.

Keluarga itu dibantu rakan dari segi kewangan, Pertubuhan Kebajikan Nadi Pertama, Baitulmal Johor, Persatuan Kebajikan Kasih Sayang Aixin, Kulai, Persatuan Amal Shan Xin Kajang, Selangor, Persatuan Bikers Ducati Johor dan Kuala Lumpur, pembaca Harian Metro selain saudara mara.

Ketika berusia tiga bulan, Alfieya menjalani pembedahan pintasan hati di Hospital Sultanah Aminah (HSA) namun penyakitnya tidak sembuh.

Norazreena tidak mampu mengambil insurans Alfieya kerana bayi itu dilahirkan pramatang dan menghidap penyakit kronik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 6:15 AM