RUMAH di Kampung Jamari, Mersing yang dinaiki air ekoran hujan berterusan. FOTO Bernama
RUMAH di Kampung Jamari, Mersing yang dinaiki air ekoran hujan berterusan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan peningkatan manakala di Pahang kekal dan di Sabah mencatatkan penurunan dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup pagi ini.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di enam daerah meningkat sedikit kepada 2,757 orang setakat 8 pagi tadi berbanding 2,564 orang pada 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan satu lagi PPS dibuka di Daerah Mersing manakala satu PPS di Daerah Mersing ditutup, menjadikan keseluruhan 31 PPS beroperasi setakat ini.

Batu Pahat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 946 orang, diikuti Mersing (829) orang, Kota Tinggi (453), Kluang (422), Segamat (92) dan Tangkak (15), menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Sungai Endau di Mersing direkodkan masih melepasi tahap bahaya dengan bacaan 2.9 meter (m).

Di Sabah, jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun dengan 1,211 orang daripada 471 keluarga di empat PPS pagi ini, berbanding 1,419 orang daripada 585 malam tadi.

Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan dua PPS iaitu Dewan Kampung Kabatan dan Sekolah Kebangsaan Bangkau-Bangkau di Pitas telah ditutup.

Menurut kenyataan itu, mangsa di Pitas seramai 1,152 orang daripada 450 keluarga dipindahkan ke dua PPS, diikuti Lahad Datu 46 orang (12 keluarga) di satu PPS, dan di Paitan seramai 13 orang (sembilan keluarga) juga di satu PPS.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir pagi ini tidak berubah dengan 219 orang daripada 70 keluarga masih berada di tiga PPS di Rompin.

Sekretariat JPBN melaporkan PPS Kampung Setajam menempatkan 171 mangsa, PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Denai (27 mangsa) dan PPS Balai Raya Kampung Jawa (21 mangsa).

Paras Sungai Keratong di Rompin terus menunjukkan trend penurunan namun masih melebihi paras bahaya 23m dengan bacaan 23.32m pagi ini, berbanding 23.48m malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 11:10 AM