BEBERAPA penunggang motosikal meredah banjir yang menenggelamkan sebahagian jalan di Kampung Air Hitam, Kuantan hari ini. FOTO BERNAMA
BEBERAPA penunggang motosikal meredah banjir yang menenggelamkan sebahagian jalan di Kampung Air Hitam, Kuantan hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Terengganu menurun petang ini berbanding pagi tadi manakala di Kelantan dan Johor meningkat.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan jumlah mangsa banjir di tiga daerah petang ini merekodkan seramai 442 orang berbanding 449 orang pagi tadi.

Temerloh mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 339 orang daripada 103 keluarga, diikuti Pekan (68 orang, 16 keluarga) dan Bera (35 orang, 10 keluarga).

Setakat petang ini, Sungai Triang di Bera mencatat paras 34.62 meter melebihi paras bahaya 34.6 meter, manakala Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Jempol, Maran pada paras amaran masing-masing pada bacaan 9.7 meter dan 31 meter.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir adalah seramai 143 orang daripada 35 keluarga setakat 4 petang berbanding 175 orang daripada 43 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN negeri memaklumkan walaupun satu pusat pemindahan sementara (PPS) Taska Kemas Daerah Mualim ditutup 10.30 pagi tadi, sebuah lagi PPS baharu pula dibuka di Perak Tengah iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali pada 2.30 petang.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir petang ini menurun kepada 103 orang daripada 28 keluarga berbanding 199 orang daripada 53 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan setakat 4 petang, sebanyak empat PPS dibuka di Kuala Terengganu yang menempatkan 66 mangsa, Kemaman (23), Besut (12) dan Setiu (dua).

Di KELANTAN, seramai 1,997 orang daripada 626 keluarga di jajahan Pasir Mas berlindung di tujuh PPS petang ini, meningkat berbanding 1,929 orang daripada 601 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN Kelantan memaklumkan seramai 712 orang berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Kedai Tanjong (43), SK Gual Periok (542) dan Masjid Mukim Padang Licin (72) manakala 157 mangsa ditempatkan di PPS Putat Tujoh, SK Kubang Kual (237) dan SK Sri Kiambang (234).

Mangsa banjir di JOHOR meningkat seorang kepada 51 setakat 4 petang berbanding 50 orang pada 8 pagi tadi dan kesemuanya ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Kuala Paya di Segamat.

Menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan paras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat melepasi paras amaran dengan bacaan 19.82 meter manakala Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat pada paras amaran iaitu 9.01 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 8:27 PM