SEBAHAGIAN rumah penduduk dinaiki air berikutan peningkatan paras air Sungai Kinabatangan. FOTO BERNAMA
SEBAHAGIAN rumah penduduk dinaiki air berikutan peningkatan paras air Sungai Kinabatangan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Johor terus menunjukkan penyusutan kepada 1,403 orang malam ini, berbanding 1,573 petang tadi.

Di SABAH, semua mangsa banjir di Lahad Datu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Pusat Latihan Vokasional ditutup, menjadikan hanya empat daerah masih dilanda banjir malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan dengan 478 orang daripada 151 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS, berbanding 642 orang daripada 192 keluarga petang tadi.

"Mangsa teramai dipindahkan ialah di Telupid dengan 207 orang daripada 65 keluarga dipindahkan ke empat PPS, manakala di Beaufort 145 orang daripada 41 keluarga di satu PPS.

"Seramai 79 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Paitan dan di Beluran 47 orang daripada sembilan keluarga di dua PPS. Mangsa banjir di semua empat daerah dijangka kekal," kata kenyataan itu.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 925 orang berbanding 931 petang tadi.

Sekretariat JPBN Johor memaklumkan lapan PPS yang masih dibuka di dua daerah menempatkan 269 keluarga setakat ini.

Batu Pahat adalah daerah paling teruk terjejas dengan 877 orang manakala Segamat mencatatkan mangsa seramai 48 orang, menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, cuaca di Mersing, Kluang dan Kulai dijangka cerah manakala tujuh daerah lain pula hujan ketika ini.

Data pula menunjukkan Sungai Bekok di Batu Pahat masih merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 18.78 meter dan menunjukkan trend peningkatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 10:26 PM