MANGSA banjir ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh, Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MANGSA banjir ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh, Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan mencatatkan trend menurun, Johor dan Pahang kekal manakala sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di Perak malam ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir malam ini menurun kepada 20 orang daripada lima keluarga berbanding 29 orang daripada lapan keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di Kuala Terengganu menjadi satu-satunya PPS yang beroperasi ketika ini.

Di KELANTAN, seramai 1,881 orang daripada 593 keluarga di Pasir Mas ditempatkan di tujuh PPS berbanding 2,006 orang daripada 632 keluarga petang tadi.

Sekretariat JPBN Kelantan memaklumkan seramai 712 orang berlindung di SK Tok Deh, SK Kedai Tanjong (34), SK Gual Periok (516), Masjid Mukim Padang Licin (57), PPS Putat Tujoh (142), SK Kubang Kual (256) dan SK Sri Kiambang (164).

Di JOHOR, menurut JPBN, jumlah mangsa banjir kekal 91 orang dengan 21 keluarga berada di tiga PPS di Segamat manakala tiga keluarga di satu PPS di Mersing.

Situasi sama turut berlaku di PAHANG, dengan Sekretariat JPBN melaporkan situasi banjir tidak berubah malam ini, apabila 141 orang daripada 36 keluarga masih berada di PPS SK Sinar Mutiara di Sungai Miang, Pekan.

Sementara itu, di PERAK, PSS di daerah Manjung dan Kampar ditutup 6 petang tadi manakala satu PPS baharu dibuka di daerah Bagan Datuk iaitu PPS SK Sungai Tiang Darat.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan PPS itu yang dibuka 3 petang tadi menempatkan 15 orang daripada tujuh keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 11:08 PM