Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
Fahmy A Rosli


Bentong: "Sudah 16 kali pilihan raya, diberi mandat. Kalau nak buat pembangunan sepatutnya mereka buat sebelum ini (di Pelangai)," soal Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata Pelangai yang ditadbir Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi tidak menunjukkan sebarang pembangunan sewajarnya terutama dari segi kemudahan.

Sehubungan itu, beliau berharap calon Perikatan Nasional (PN) diberikan kepercayaan oleh pengundi di DUN berkenaan sekali gus dapat mengangkat suara warga Pelangai yang kecewa dengan kewibawaan parti yang mentadbir kerajaan negeri Pahang.

"Kalau isu yang disebut oleh BN bahawa kalau nak terus pembangunan kena kekalkan parti yang memerintah walhal sudah 16 kali pilihan raya (BN) diberi mandat. Jadi kalau nak buat pembangunan sepatutnya mereka buat sebelum ini.

"Sekarang konsepnya berbeza. Kalau kita nak pembangunan, kita tak boleh beri kepada kerajaan. Kita biar pembangkang (lakukan) kerana lebih dijaga berbanding dengan kerajaan. Kalau nak beri kepada kerajaan, sudah 16 kali kita beri peluang di Pelangai...Tidak ada satu parti lain memerintah sejak mula merdeka sampai sekarang iaitu BN.

"Kalau alasan pembangunan, kenapa tak buat sebelum ini. Sebab itu saya tengok kebangkitan anak muda yang kecewa sebenarnya. Mereka kecewa dengan apa yang berlaku antaranya kemudahan ATM (mesin pengeluaran wang tunai) tidak ada, stesen minyak tidak ada bahkan kalau ada jauh. Kemudian akses jalan keluar masuk pun (bermasalah).

"Saya bukan nak salahkan wakil rakyat sebelum ini tetapi nak sebut, bila dia sebut pasal isu pembangunan, sebenarnya kita tengok sekarang ini 'mood' anak muda. Mereka menyaksikan sudah banyak kali diberi peluang. Kali ini, kita perlu beri kepada pembangkang dan tengok bagaimana ktia pula mengurus. Kita harap PN akan berjaya kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Pusat Penamaan Calon PRK DUN Pelangai dekat Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini, pagi ini.

Mengulas potensi PN untuk menang PRK kal ini, Tuan Ibrahim berkata jika kerusi DUN Pelangai berjaya dirampas parti berkenaan sudah tentu menjadikan suara pembangkang lebih dominasi.

Ketika ini, PN dan BN masing-masing mempunyai 17 kerusi DUN di Pahang.

"Dari segi pentadbiran memang masih kekal. Cuma kita boleh bayangkan pembangkang 18 kerusi, parti yang menjadi kerajaan 16 kerusi. Ia akan menjadi satu tekanan besar kepada kerajaan.

"Dari segi politik demokrasi, ia sebenarnya melambangkan suara pembangkang itu sudah melebihi suara mendominasi parti kerajaan. Tanpa gabungan dengan PH, sebenarnya mereka (BN) tak boleh lagi menerusi agenda (pentadbiran kerajaan) negeri," katanya.

Berkenaan tindakan ahli UMNO Kampung Sum-Sum bertanding sebagai calon BEBAS, Tuan Ibrahim menyifatkan langkah itu sebagai manifestasi ahli yang kecewa dengan BN.

Justeru, beliau mengharapkan pengundi Pelangai tidak mensia-siakan undi mereka dengan memilih parti yang lebih stabil.

"Sebahagian mereka kecewa tentang apa yang berlaku dalam UMNO. Sama ada mereka nak terbuka menentang sebagai calon bebas ataupun mereka senyap-sentap. Inilah realiti.

"Kita harapkan pengundi yang sokong PN supaya lebih fokus sebab kita tak nak hilang undi yang sia-sia. Undi sia-sia ini tidak ada makna dalam demokrasi. Kita boleh masuk calon bebas itu hak demokrasi tetapi bila undi kita bernilai dan untuk dapat undi bernilai, kita mesti sepakat beri kepada satu kumpulan iaitu PN," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 1:08 PM