NAZLI membuat pemeriksaan ke atas penunggang motosikal ketika operasi. FOTO Mohd Fadly Samsudin
NAZLI membuat pemeriksaan ke atas penunggang motosikal ketika operasi. FOTO Mohd Fadly Samsudin
Mohd Fadly Samsudin


Petaling Jaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 346 notis saman ke atas penunggang motosikal dalam Op Khas Motosikal yang diadakan di Plaza Tol PJS 2, malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Nazli Md Isa berkata, dalam operasi bermula 8 malam itu 478 motosikal diperiksa.

Menurutnya, daripada jumlah itu 389 kesalahan dikesan dan diambil tindakan.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.

"Kesalahan paling banyak dilakukan penunggang motosikal adalah tidak mempunyai lesen iaitu 130 saman dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan sepanjang Op Khas Motosikal sempena Aidilfitri yang dilancarkan 26 Jun lalu sehingga malam tadi, 4,561 kenderaan diperiksa.

"Daripada jumlah itu, 1,858 kenderaan dikenakan tindakan membabitkan 3,801 saman dikeluarkan.

"Jumlah saman yang dikeluarkan tahun ini meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lalu di mana kesalahan terbesar adalah tidak mempunyai lesen memandu iaitu 693 individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 12:03 PM