Bekalan beras putih tempatan yang diterima Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) untuk jualan di 14 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Terengganu. Foto IHSAN PPNT
Bekalan beras putih tempatan yang diterima Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) untuk jualan di 14 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Terengganu. Foto IHSAN PPNT
Faizul Azlan

Kuala Terengganu: Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) menerima 30 tan matrik beras putih tempatan untuk jualan di negeri ini.

Pengurus Besar PPNT, Aizuddin Muhammad berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melantik PPNT sebagai pengedar beras putih di negeri Terengganu.

Menurutnya, bekalan yang diterima diedarkan ke 14 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Terengganu untuk dijual secara runcit di premis terbabit.

"Bekalan yang PPNT terima ini sebagai langkah intervensi kerajaan dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan beras di negeri ini.

"Bekalan yang kita terima ini juga sama seperti mana yang dilaksanakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu baru-baru ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Aizuddin berkata, beras dibekalkan kepada semua PPK untuk fasa pertama semalam dan dijual dengan harga pasaran RM26 untuk 10 kilogram (kg).

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan permintaan yang tinggi atas permintaan stok terbabit oleh pengguna.

"Kita merancang untuk menambah bekalan beras putih dalam masa terdekat untuk memenuhi kehendak pengguna

"Pihak Pertubuhan Peladang komited bagi memastikan langkah intervensi dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutama dalam usaha membantu menyelesaikan kekurangan beras tempatan di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 6:17 PM